Cari Buruk Orang Lain
Sesungguhnya, kita ditegah sama sekali mencari keburukan orang lain untuk kebaikan diri sendiri. Sekiranya inginkan sesuatu, hendaklah dilakukan melalui usaha sendiri dan dengan secara yang dibenarkan syariat.
Firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah seseorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentulah kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, ayat 12).
Sekiranya kita ingin melakukan sesuatu, lihat dalam diri sendiri mencari kekuatan dan kelemahan diri. Rasulullah bersabda bermaksud: “Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban diri sendiri.” (Hadis riwayat Muslim).
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa fitnah tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnahkan memberi keampunan. Dapat kita fikirkan betapa sukarnya menemui setiap orang yang difitnah bagi memohon maaf.
Fikirkan, betapa besarnya dosa jika fitnah itu ditujukan kepada kelompok orang ramai yang tidak mampu ditemui setiap orang untuk memohon maaf.
Dosa membuat fitnah menghalang seseorang daripada memasuki syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di akhirat di mana dirinya akan diberikan malu oleh Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya dari Abu Zar).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/02/cvs.html