Cara Cara Untuk Membuat Laporan Polis Secara Online
Portal e-Reporting memudahkan orang awam membuat laporan polis melalui Internet. Walaubagaimanapun…
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun melancarkan laman portal e-reporting yang bertujuan untuk memudahkan orang awam membuat laporan polis secara online melalui Internet. Kemudahan ini disediakan khas untuk membuat laporan polis bagi kes kehilangan dokumen atau barang yang tidak berkait dengan jenayah.
Portal e-reporting ini telah pun dilancarkan pada Mei 2017 dahulu bagi memudahkan orang ramai membuat laporan polis terus dari rumah, tanpa perlu hadir ke balai.
Ia juga merupakan antara inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Cuma buat masa ini, sistem e-reporting hanya menyokong lokasi di kawasan Balai Polis Kuala Lumpur sahaja.
Cara menggunakan e-reporting
1. Untuk mengakses portal e-reporting, pengguna perlulah mendaftar terlebih dulu. Bagi mereka yang pertama kali mengakses e-reporting, mereka bolehlah klik pada pautan Daftar Pengguna.
2. Selepas berjaya mendaftar, anda bolehlah mula mengakses laman e-reporting dengan memasukkan nombor Kad Pengenalan dan Kata Laluan. Setelah memasukkan Kad Pengenalan dan Kata Laluan, satu kotak dialog akan dipaparkan seperti rajah di bawah yang memerlukan anda menanda pada 2 kotak. Ia adalah sebagai pengesahan bahawa anda adalah berumur 18 tahun dan ke atas serta laporan yang akan anda buat tidak melibatkan unsur jenayah.
Selepas itu, klik pada butang Sambung.
3. Kemudian, akan dipapar satu lagi kotak dialog pilihan sebelum anda boleh membuat laporan polis. Untuk pilihan ini, anda tidak boleh menanda pada salah satu pilihan dalam kotak merah seperti yang ditanda pada rajah di bawah.
Ini kerana pilihan kotak itu melibatkan laporan berunsur jenayah atau memerlukan siasatan lanjut oleh polis. Portal e-reporting hanya membenarkan laporan yang bukan berunsur jenayah atau tidak memerlukan siasatan lanjut oleh polis seperti laporan hilang atau tercicir kad pengenalan, lesen memandu, pasport, kad kredit atau kad ATM, hilang telefon bimbit, komputer riba, cukai jalan dan kes pembantu rumah lari dari majikan.
Kes-kes berunsur jenayah memerlukan anda membuat laporan terus ke balai polis berhampiran.
Selepas selesai menanda bahagian ini, klik pada butang OK.
4. Selesai menjawab dan menanda soalan-soalan awal itu, barulah anda dapat mengakses laman utama portal e-reporting. Laman muka pertama e-reporting memaparkan Butiran Peribadi iaitu maklumat peribadi anda yang telah dimasukkan semasa anda mendaftar.
Untuk memulakan laporan, klik pada butang Seterusnya.
5. Butang Seterusnya akan membawa anda ke laman muka Butiran Kejadian.
Di sini anda boleh memasukkan butiran lokasi kejadian termasuklah lokasi, masa dan tarikh yang anda percayai berlakunya keciciran Kad Pengenalan anda.
6. Seperti yang diberitahu awal tadi, sistem e-reporting hanya menyokong lokasi di kawasan Balai Polis Kuala Lumpur sahaja. Bermakna, kes-kes yang berlaku di luar kawasan tersebut tidak boleh dibuat menerusi portal e-reporting.
Kesimpulan
Sistem e-reporting lebih menjurus kepada kes-kes ringan yang tidak melibatkan kes jenayah atau kes yang memrlukan siasatan lanjut oleh pihak polis.
Sebagai contoh, kes keciciran Kad Pengenalan tidaklah lagi memerlukan anda pergi ke balai polis. Sebaliknya hanya dari rumah atau menerusi telefon pintar, anda sudah boleh membuat dan mencetak laporan bagi mendapatkan dokumen peribadi baharu menggantikan yang hilang.
Cuma, sokongannya yang terhad hanya di lokasi Kuala Lumpur sahaja menyebabkan ia tidak dapat dimanfaatkan oleh pengguna secara lebih meluas.
Sumber : Wiser
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://johanharith.blogspot.com/2019/12/cara-cara-untuk-membuat-laporan-polis.html