Calon Ppbm Tewas Pada Pru14 Kesal Ph Lupa Jasa
Adam Abu Bakar
Calon PH Parlimen Setiu, Mohd Faudzi Musa kesal apabila pucuk pimpinan PPBM seolah-olah mengabaikan jasanya semasa PRU14.PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), menyuarakan kekesalannya apabila pimpinan pusat seolah-olah melupakan jasa dan sumbangannya semasa pilihan raya itu.
Mohd Faudzi Musa yang bertanding kerusi Parlimen Setiu, Terengganu, menentang Umno dan PAS, berkata jasanya layak dibalas pucuk pimpinan PH khususnya PPBM, kerana beliau mempunyai kelayakan memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Tidak perlu letak di GLC yang besar-besar, kalau saya ini dikatakan kurang pengalaman, maka letaklah di GLC yang kecil-kecil, kerana ini satu proses pembelajaran.
“Sesetengah menteri yang dilantik hari ini juga tidak ada pengalaman dalam pengurusan ekonomi, jadi takkanlah saya yang ada PhD serta pengalaman sedikit sebanyak tidak layak,” katanya kepada FMT.
Pada PRU14, Faudzi tewas dalam pertandingan 3 penjuru menentang Umno dan PAS, yang menyaksikan beliau hanya menerima 4,740 undi di kawasan majoriti Melayu.
Parlimen Setiu dimenangi calon PAS, Shaharizukirnain Abd Kadir yang pada ketika itu menjalinkan kerjasama rapat dengan Umno atas nama penyatuan ummah.
Walaupun tewas, Faudzi berkata beliau tetap berjaya memecahkan undi bagi memastikan usaha PH untuk mengurangkan kerusi Umno di peringkat Parlimen.
Katanya, PPBM tidak wajar mengabaikannya begitu sahaja tanpa sebarang pembelaan, sebaliknya melantik beberapa individu lain yang turut tewas sewaktu PRU14 untuk menerajui GLC, disebabkan mempunyai hubungan erat dengan pimpinan tertinggi.
“Saya bandingkan diri saya dengan orang lain, kenapa saya jadi macam ini. Semak punya semak, mereka ada ‘kabel halus’.
“Jangan tinggal orang macam saya kerana saya tidak pernah menentang sesiapa. Kita dahulu ambil risiko untuk menentang Umno dan BN.
“Pertimbangkanlah untuk tempatkan saya di GLC bersesuaian. Jika dahulu majlis pimpinan tertinggi parti setuju hendak melantik kami yang tewas ini sebagai penyelaras Parlimen, memang ada kata tetapi sampai sekarang masih tidak ada,” katanya.
Faudzi turut mengakui hubungan antara pemimpin dalam PPBM masih belum akrab, memandangkan mereka baru setahun menjadi pembangkang.
Katanya, ia berbeza dengan hubungan pemimpin dalam DAP, PKR dan Amanah yang sudah terbukti semangat setiakawan mereka, kerana bertahun-tahun menjadi pembangkang menentang pimpinan Umno-BN di peringkat Persekutuan.
“Mungkin ini antara punca kita dipinggirkan, kita tidak lama jadi pembangkang. Jadi pembangkang tidak lama kemudian terus jadi menteri. DAP, PKR dan Amanah pula orang lama, apabila mereka naik menerajui negara, nampak kesatuan itu ada. Kita pula tidak berapa kenal rapat,” katanya.
Beliau turut memberi contoh langkah PKR yang melantik Tian Chua, yang sebelum ini tidak dibenarkan bertanding pada PRU14 SPR atas alasan pernah didenda RM2,000 oleh mahkamah.
Walaupun tidak mempunyai sebarang kedudukan di peringkat Parlimen, Tian tetap dilantik sebagai Pegawai Khas Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang berkhidmat secara “pro bono” atau tanpa menerima bayaran.
“Amanah juga sama, DAP juga bagus dari segi ingatan mereka terhadap pemimpin yang membantu perjuangan parti.
“Cumanya, PPBM ini pula ‘terlampau bagus’, tinggalkan mereka yang profesor, jurutera kerana semua itu tidak penting,” katanya.
Menurut Faudzi, ini bukanlah kali pertama beliau bersuara, sebaliknya pernah menyuarakan pandangannya kepada pucuk pimpinan parti menerusi beberapa platform seperti “group Whatsapp” dan mesyuarat yang diadakan secara bersama.
“Mereka tahu kami bersuara, jadi kenapa lupa. Nama kami semuanya ada di ibu pejabat parti. Kami hendak jadi calon bukannya boleh suka-suka, semua maklumat peribadi seperti sijil akademik, anugerah semua kami maklumkan, bahkan penyakit yang kami ada juga ibu pejabat tahu.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/calon-ppbm-tewas-pada-pru14-kesal-ph.html