Buruk Sangka Sikap Tercela
Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang
beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka
sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan
janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang
daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Surah al-Hujurat,
ayat 12)
Tegas di sini, Islam sama sekali tidak
membenarkan orang mukmin buruk sangka kerana itu merupakan sifat tercela yang
boleh meruntuhkan persaudaraan yang telah terbina.
Orang buruk sangka sama dosanya seperti
memakan daging saudara yang sudah mati. Perkara buruk ini menjadi sebahagian
sifat umat Islam hari ini yang sentiasa iri hati dan buruk sangka terhadap
saudara Islam dengan menuduh orang melakukan perbuatan mungkar tanpa mempunyai
bukti kukuh.
Saidina Umar al-Khattab menegaskan, "Janganlah kamu menyangka dengan satu
kata pun yang keluar dari seseorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan
kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandung kebaikan".
Kalau diamalkan buruk sangka, akibatnya pun
sangat buruk yang diterima sama ada di dunia mahu pun di akhirat.
Buruk sangka merupakan cabang dusta.
Rasulullah SAW bersabda: "Jauhilah prasangka, sebab prasangka itu
pembicaraan yang paling dusta." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Buruk sangka juga boleh menyebabkan
terciptanya dosa-dosa lain seperti bohong, benci, dengki dan marah.
Rasulullah SAW memberikan peringatan dengan tegas bermaksud: "Hendaklah
kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan
kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih
kebenaran, dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Hati-hatilah
terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepda kejahatan dan kejahatan
membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta, dia
tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Hadis riwayat Bukhari).
Oleh sebab itu, setiap mukmin hendaklah
memilih sifat suka baik sangka kepada semua orang. Sifat ini sangat
menguntungkan semua pihak dan perbuatan tersebut merupakan sifat mahmudah
(terpuji) yang sangat dituntut oleh agama.
Melalui amalan baik sangka, persaudaraan
dan perpaduan akan sentiasa wujud menonjolkan identiti umat Islam yang indah
dan menarik.
Jika gemar buruk sangka, maka segeralah
bertaubat kepada Allah dengan penuh kesedaran. Buruk sangka hanya membawa
perpecahan dan keburukan. Ingatlah bahawa kebahagiaan dan ketenteraman akan
terhasil dengan adanya perpaduan.
Hidup dalam buruk sangka membawa kepada suasana
celaru dan sengsara. Semua pihak hidup dalam keadaan tertekan dan rasa tidak
selamat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sambungtitik.blogspot.com/2023/10/sws.html