Buli Pengaruh Budaya Barat Hentikan Tradisi Haram Ini
 Oleh Zuhayati Yazid
 		 			Kematian Zulfarhan buka mata masyarakat kejamnya gejala buli
		  			 			BANGI, 29 Rabiulawal 1443H, Jumaat – Pasukan khas perlu dibentuk bagi  menyiasat gejala buli terutama di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi  mengelakkan tragedi sadis seperti kes Allahyarham Zulfarhan Osman  Zulkarnain berulang.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, pengaruh buli yang berlaku  hakikatnya bukan budaya orang Melayu, sebaliknya tradisi budaya haram  dari Barat.
Penderaan dalam buli itu sendiri sangat bertentangan dalam ajaran  Islam, bahkan agama lain turut melarang mencederakan orang lain sehingga  boleh menyebabkan kematian.
“Kenapa perlu teruskan budaya Barat yang tidak sesuai dengan gaya hidup kita walaupun kononnya dianggap normal.
“Kita bimbang buli dijadikan alasan untuk mereka membalas dendam,” katanya dalam siaran Buletin TV pertiwi malam ini.
Beliau mengakui, kes buli membabitkan Allahyarham Zulfarhan telah  membuka mata masyarakat dan ramai pihak betapa bahayanya jenayah ini.
“Saya sendiri berpengalaman apabila ada pelajar datang dan berkongsi pengalaman menjadi mangsa buli malah ada yang lebih teruk.
“Namun kejadian Zulfarhan ini telah buktikan kepada kita bahawa  gejala buli perlu dipandang serius, jangan buat sambil lewa,” katanya.
Kes Allahyarham Zulfarhan menjadi perhatian selepas Mahkamah Tinggi  memutuskan enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)  didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat terhadap mangsa, empat  tahun lepas.
Mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa,  untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan  asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30  pagi hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017.
Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/buli-pengaruh-budaya-barat-hentikan.html