Bila Taliban Mengunjung
Apabila Lim Guan Eng mempertikaikan langkah Kementerian Pendidikan menyambut delegasi Taliban tempoh hari pengerusi DAP itu bolehlah dianggap sebagai memainkan ‘the Chinese card’. Bukan memeranjatkan. Malah dijangkakan kerana orang Cina (juga masyarakat bukan Melayu lain) tidak senang terhadap Taliban. Dan DAP mestilah dilihat menjaga kepentingan mereka.
Saya tidak meragui keikhlasan Lim yang membangkitkan isu itu seperti beliau kata ‘bukan sahaja sebagai wakil rakyat tetapi juga sebagai seorang yang memandang serius hak asasi manusia khususnya pendidikan wanita’.
Sememangnya, Taliban yang memimpin kerajaan Afghanistan ‘terkenal’ dengan tindakan menyekat wanita daripada belajar di sekolah dan universiti serta dasar diskriminasi terhadap golongan berkenaan.
Namun, Lim juga mungkin cuba ‘meringankan’ tekanan ke atas Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh. Beliau ialah daripada DAP. MCA musuh ketat DAP pantas mengaitkan Wong dengan sambutan Taliban.
Lim tegas mengatakan Wong tidak tahu akan lawatan delegasi Taliban itu. Presiden MCA Wee Ka Siong seperti dijangka tidak percaya. “Bagaimana seorang timbalan menteri yang ada pengaruh dan kuasa tidak tahu perkara ini?” tanya beliau seperti dilapor Malaysiakini. Bagi saya Wee juga bermain ‘the Chinese card’ dan mengambil kesempatan menyerang DAP untuk cuba dapat sokongan masyarakat Cina yang sudah lama hilang.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional pula melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Lim yang pertikai lawatan Taliban. Mewakili mereka ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau kita tahu ialah timbalan presiden PAS.
Kata beliau, Lim tidak sepatutnya meletakkan imej sangat negatif di mata antarabangsa kerana dasar diplomasi Malaysia boleh menerima atau mengadakan hubungan secara tidak rasmi dengan negara yang belum diiktiraf. Malaysia tidak punya hubungan diplomatik dengan Afghanistan.
Tuan Ibrahim mahu kerajaan memperkukuh hubungan diplomatik dengan kerajaan Afghanistan ‘yang dipilih secara rasmi oleh rakyat negara itu’. Maaf setahu saya Taliban mendapat kuasa pada 2021 secara bersenjata dalam menumpaskan kerajaan terdahulu dipimpin Ashraf Ghani yang didukung Amerika Syarikat. Bila masanya rakyat ‘memilih kerajaan Taliban secara rasmi’ yang dikata Tuan Ibrahim?
Apa pun bagi saya beliau dan PN memainkan ‘the Malay card’ bertujuan memikat hati pengundi Melayu Islam dan menunjukkan mereka peka terhadap sebuah kerajaan Islam.
Selain parti politik badan bukan kerajaan dan individu turut memberi pandangan dan ulasan akan lawatan rombongan Taliban ke Malaysia awal bulan ini. Ada yang menyokong ada yang membantah. Saya tidak akan menghurai apa yang diperkatakan.
Hakikatnya rata-rata rakyat Malaysia termasuk orang Melayu Islam yang takut dan bimbang tentang Taliban. Saya sendiri bukanlah peminat Taliban. Berpandukan apa yang dibaca dan lihat menerusi rangkaian media antarabangsa pasti saya tidak menyukai cara mereka mentadbir Afghanistan.
Malah, masyarakat bukan Islam di Malaysia sering menyifatkan apa yang dianggap langkah ‘Islamisasi keterlaluan’ di negara ini sebagai langkah menuju pemerintahan ala Taliban.
Apa lagi apa yang diamalkan di negeri diperintah PAS. Tidaklah aneh atau pelik lawatan rombongan Taliban di negara ini mendapat perhatian ramai dan menimbulkan kegusaran. Saya ada baca satu komen di media sosial di mana seorang bertanya bagaiamana agaknya Taliban berjumpa dengan seorang menteri wanita? Merujuk Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Fadhlina mempertahankan langkah menjadi tuan rumah kepada rombongan kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban walaupun sedar mereka mengehadkan akses wanita kepada pendidikan.
Menurut Fadhlina, beliau bertekad merebut setiap peluang ‘setipis kulit bawang sekalipun untuk membuka mata mereka mengenai hak wanita mendapat pendidikan’. Satu tindakan dan pendirian amat bagus pada hemat saya.
Misi membuka mata mereka kata Fadhlina sudah selesai. “Kini saya hanya mengharap mereka akan melaksanakan misi membuka sekolah dan membenarkan kanak-kanak perempuan di Afghanistan ke sekolah sebagaimana kanak kanak perempuan di Malaysia.”
Harapan saya begitu juga. Bukan saya seorang. Ramai yang mahu wanita di Afghanistan dibenarkan mendapat pendidikan. Cuma saya ragu Taliban akan mengubah pendirian sekian lama hanya dengan menghadiri sesi sejam dua dengan Fadhlina. Apa lagi mereka disekolahkan oleh seorang wanita. ‘Hope i’m wrong’. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/11/bila-taliban-mengunjung.html