Bersediakah Pas Teraju Putrajaya Tanpa Pertandingan Top 5 Pada Muktamar
freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin19 Oct 2023,
PAS perlukan pemimpin pelapis untuk bersedia menerajui Putrajaya ketika parti itu di prestasi terbaiknya.
Muktamar PAS tahun ini dijangka tenang kerana tidak ada pemilihan bagi lima jawatan tertinggi parti
PETALING JAYA: Ketiadaan pemilihan bagi lima jawatan tertinggi PAS mungkin menyebabkan Muktamar ke-69 parti itu berlangsung agak tenang, namun persoalan lebih besar timbul “siapa pemimpin pelapisnya” untuk mara lebih jauh.
Dengan kecemerlangannya pada PRU15 yang diteruskan ketika PRN Ogos lalu, PAS memerlukan pemimpin pelapis sebagai persediaan kemungkinan menerajui Putrajaya tetapi ahlinya ketika ini cenderung mengekalkan barisan sedia ada.
PAS kini mempunyai 43 Ahli Parlimen teramai dalam Perikatan Nasional (PN) manakala menguasai empat negeri, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis.
Tanpa sebarang pencalonan pemimpin lain, Hadi Awang kekal sebagai presiden, begitu juga Tuan Ibrahim Tuan Man selaku timbalannya dan tiga naib presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Mohd Amar Nik Abdullah.
Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia Zaireeni Azmi melihat ia pendirian ahli PAS yang tidak mahu menganggu kekuatan organisasi kepimpinan berdasarkan keputusan cemerlang dalam dua siri pilihan raya sejak tahun lalu.
Namun akuinya, ketiadaan cabaran bagi jawatan utama bukan sesuatu yang baik untuk masa depan kerana pertandingan perlu untuk melahirkan pemimpin pelapis.
“Walaupun tiada pertandingan ‘Top 5′ tetapi untuk AJK ada, muka baharu perlu tanding supaya sentiasa ada pelapis boleh beri nafas segar serta idea baharu…orang muda sekarang fleksibel bukan semua faham sifat wala’ (setia).
“Hendak kata semua (orang muda) golongan celik politik tidak juga, ada nilai dari segi fizikal sebab itu golongan pelapis dalam parti penting supaya ada idea diberikan mengikut peredaran masa,” katanya kepada FMT sambil menjangkakan muktamar bermula Jumaat ini tidak sepanas 2015.
Ketika itu, Hadi dicabar Ahmad Awang manakala Tuan Ibrahim mencabar Mohamad Sabu. Ahmad dan Mohamad yang tewas pada pemilihan itu keluar lalu menubuhkan Amanah iaitu komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
Bagi Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin, tidak timbul soal siapa pemimpin pelapis parti Islam itu walaupun tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi dalam parti.
“Tak timbul juga isu ada larangan…tak macam Umno kerana kita buka pintu pertandingan. Malah dibuat dua tahun sekali iaitu paling singkat antara parti.
“PAS ramai pemimpin pelapis dan giliran mereka menerajui parti akan tiba bila sampai masanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jerantut.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara Mazlan Ali pula berpendapat ahli PAS mungkin tidak mahu melihat perpecahan berlaku pada 2015 yang memberi kesan kepadanya pada PRU 2018.
“Ahli dan pemimpin PAS amalkan prinsip wala’, patuh pucuk pimpinan dan keputusan Majlis Syura,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/10/bersediakah-pas-teraju-putrajaya-tanpa.html