Berhenti Meminta Fokus Mendapatkan
Kerajaan akan membuat penilaian sewajarnya dalam pemberian tunai program Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) kepada individu yang berkelayakan.
“Kami tidak boleh menamatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), namun kami perlu membuat penilaian sewajarnya, sama ada kami perlu menyalurkannya kepada orang yang benar-benar miskin atau kepada yang lain juga,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau menambah, hasrat kerajaan adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, bukannya memberi wang secara percuma.
"Strategi kami adalah untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan supaya mereka tidak perlu meminta wang. Mereka peroleh apa yang sepatutnya mereka dapat."
Perdana Menteri bercakap kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada pembukaan Persidangan Bandaraya 4.0 dan Perniagaan 4.0 di sini semalam.
Dr Mahathir menegaskan, mana-mana kerajaan pun akan mengambil berat terhadap rakyatnya, tetapi mereka prihatin tentang orang yang benar-benar memerlukan, seperti orang kurang upaya atau tidak berpendidikan.
Katanya, memberikan wang percuma hanya kerana sesetengah individu itu berpendapatan di bawah RM4,000, tanpa penilaian sewajarnya adalah salah.
Kerajaan, kata Dr Mahathir, mahu rakyat merasa mulia, terutama bekerja keras untuk mendapatkan pendapatan hasil usaha sendiri dan bukannya mendapatkan wang secara percuma.
Sebelumnya dilaporkan, kerajaan sedang merangka strategi ekonomi baharu, yang mana antara langkahnya adalah untuk menggantikan BR1M.
Strategi ekonomi baharu itu akan menumpukan kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Azmin juga menyokong pendapat Perdana Menteri bahawa BR1M, inisiatif yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional itu patut ditamatkan kerana ia berbentuk sogokan tunai untuk mendapatkan sokongan politik daripada rakyat.
Beliau menambah, rakyat seharusnya didayakan dengan program khusus yang mana boleh meningkatkan ekonomi mereka.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kluangmanexpress.blogspot.com/2018/08/berhenti-meminta-fokus-mendapatkan.html