Bekas Polis Rayu Kdn Siasat Semula Tuduhan Merompak 20 Tahun Lalu
Adam Abu Bakar
Md Ali Amir Batcha dituduh melakukan 34 rompakan sekitar Johor, mengambil hasil rompakan, merancang melakukan samun di bank dan melakukan kesalahan rasuah pada 1997. PUTRAJAYA: Seorang bekas anggota polis menuntut Putrajaya pimpinan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat semula tuduhan palsu berkaitan rompakan membabitkan dirinya sewaktu bertugas pada tahun 90-an.
Md Ali Amir Batcha, 65, yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (D9) berkata, tribunal itu harus dikendalikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukannya pihak polis, memandangkan beliau sudah hilang kepercayaan terhadap jabatan berkenaan.
“Saya menjadi mangsa kepada satu konspirasi. Saya mahu buktikan saya tidak pernah terlibat dalam rompakan dan saya tegaskan saya tidak pernah merompak. Apa yang berlaku adalah saya menumpaskan perompak.
“Hampir 20 tahun saya tuntut keadilan. Saya minta tribunal khas siasat semula proses tangkapan terhadap saya,” katanya ketika ditemui sewaktu menyampaikan memorandum di Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.
Md Ali berkata, beliau ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO) pada 1997 selama 3 tahun di Simpang Renggam.
Katanya, beliau ditahan selepas menerima pertuduhan yang dijelaskannya sebagai palsu kerana melakukan 34 rompakan sekitar Johor, mengambil hasil rompakan, merancang melakukan samun di bank dan melakukan kesalahan rasuah.
“Saya diminta mengaku terlibat dalam 34 rompakan, menggunakan unit UTC. Saya minta siasatan semula dibuat terhadap laporan polis yang saya lakukan sebelum ini. Kembalikan semula hak saya. Seluruh proses buang kerja saya adalah satu rekaan,” katanya.
Menurut Md Ali, disebabkan insiden malang itu beliau bersetuju dengan keputusan Putrajaya untuk melaksanakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Beliau juga memaklumkan sudah menghantar memorandum membabitkan tuduhan palsu dikenakan terhadapnya kepada beberapa pihak sebelum ini, seperti Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri dan ketua polis negara semasa pentadbiran sebelum ini, namun tidak ada sebarang tindakan.
“Sejak kerajaan baru memerintah, saya sudah luahkan perasaan saya di laman sosial. Saya sendiri sudah lakukan sidang media dan membuat laporan polis. Kini saya mahu serahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berhubung tuntutan saya,” katanya.
Md Ali berkata, sejak ditahan dari 1997 hingga 2000, beliau juga mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga terpaksa menjual harta untuk menanggung kos guaman bagi menuntut keadilan.
“Harta saya digadaikan semata-mata untuk membayar upah peguam dan turun naik ke pejabat pihak-pihak berwajib bagi mendapatkan keadilan bagi pihak saya. Namun saya terpaksa tarik diri mahkamah kerana percaya ada pihak yang sudah campur tangan,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/bekas-polis-rayu-kdn-siasat-semula.html