Basikal Percuma Jika Datang Masjid
Nor Amalina Alias
KANAK-kanak berusia 10 hingga 12 tahun yang hadir ke masjid setiap hari selama sebulan akan mendapat basikal secara percuma.
Itu inisiatif unik jawatankuasa Masjid Mahmudi terletak di hadapan Pantai Irama, Bachok bagi menggalakkan kanak-kanak hadir ke masjid sepanjang Ramadan ini.
Imam tua masjid berkenaan, Baharin Yusoff berkata, inisiatif itu sudah dibuat sejak tahun lalu dengan kanak-kanak yang hadir ke masjid itu akan mendaftarkan nama mereka bagi menunaikan tiga waktu solat ditetapkan.
“Mereka yang hadir penuh bagi menunaikan solat Subuh, Maghrib dan Isyak kita akan bagi sebuah basikal seorang.
“Memang pada mulanya mereka mungkin datang sebab nak basikal, tapi lama-kelamaan timbul minat mereka suka datang ke masjid untuk beribadat,” katanya ketika ditemui di masjid itu semalam.
Baharin berkata, lebih 100 kanak-kanak hadir ke masjid itu bagi solat tarawih, namun 15 daripadanya berjaya hadir di tiga waktu solat ditetapkan.
“Tiada had pemenang kalau 10 kanak-kanak cukup tiga waktu itu, mereka semua akan diberi basikal malah tahun ini kita juga beri hadiah kepada orang tua paling cergas dan paling banyak hadir solat tarawih,” katanya yang memberitahu hadiah dan keputusan pemenang akan disampaikan pada Ramadan ke 28 nanti.
M Abby Danial Mohd Hakiki, 10, berkata, dia sudah mendaftar program itu sejak tahun lalu dan berjaya menang hamper apabila cukup solat terawih 30 hari.
“Saya seronok datang masjid kerana boleh bantu jemaah lain sediakan makanan dan menjaga kebersihan.
“Kalau ada rezeki dapat basikal, kalau tidak tak apa,” kata murid Sekolah Kebangsaan Kemudi itu.
Muhammad Zahin Najmi Zamri, 13, berharap dia dapat basikal bagi menggantikan basikalnya yang rosak.
Katanya, dia sering ke masjid itu bersama bapanya, Zamri Ismail, 51, kerana jarak rumah dan masjid hanya 100 meter.
“Saya ada beritahu kawan-kawan pasal hadiah basikal dan ajak mereka datang ke masjid.
“Paling saya suka bila dapat solat berjemaah dan berselawat beramai-ramai,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/basikal-percuma-jika-datang-masjid.html