Balik Gelap Dah Setan Banyak
Dulu-dulu pantang orang tua kita tengok anak-anak masih berkeliaran di luar rumah waktu senja.
“Masuk! Maghrib dah, setan banyak,” antara amaran emak sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.
Masa itu aman damai. Orang luar pun tidak seramai warga asing sekarang. Kalau ada pun yang kita kanak-kanak takut hanyalah omongan kosong ‘pemenggal kepala’ atau ‘hantu kum-kum’. Sesekali digempar kejadian pecah rumah oleh ‘mat pit’.
Kalau abang dan kakak, malah saya sendiri pulang 10 minit lewat dari mengaji Quran pun, akan terpacaklah mak depan rumah tok guru ngaji. Diiring balik merentas kepekatan malam kampung di Jalan Klang Lama lewat 70-an.
Begitulah rutin emak, ayah gigih menjaga makan minum, pendidikan dan keselamatan anak-anak. Rotan yang disangkut di dinding rumah kayu sekadar ada. Berdebu. Bila dewasa, dua adik perempuan, seorang kerjanya sering out station terbang di awan biru dan seorang lagi nun jauh belajar di negara Uncle Sam sana pertengahan 1990-an akan dihubungi mak dua kali seminggu.
“Kau dah bangun ke? Sembahyang Subuh dah ke,” sesekali dipecahkan dengan gelak ketawa adik-adik perempuan di hujung corong telefon: “Sini malam lah mak.” Mak kemudian akan keluarlah ‘peluru-peluru’ nasihatnya yang bagai-bagai lagi.
Demikian juga bila semua abang dan kakak sudah berumah tangga (saya sendiri awal lagi 1995), bila dua adik masih belum lagi nampak jodohnya, habis dicari oleh mak akan penawarnya.
Alhamdulillah sudah beroleh tiga cahaya mata masing-masing mereka.
Hari ini, soal keselamatan diri anak-anak di luar rumah masih dan akan terus menjadi keresahan ibu bapa. Malaysia ini saiznya kecil. Jumlah penduduk pun cuma 34 juta, tetapi jenayah kes bunuhnya biarpun tidak sebanyak Amerika Selatan, Afrika atau Amerika sana, bila terjadinya – cukup sadis.
Adakah kerana tekanan kehidupan, terjahan media sosial atau masyarakat tidak ambil peduli hal sekeliling? Aku aku, engkau engkau. Atau bak kisah lagu Masing-Masing dendangan M. Nasir (Kembara): … ada seorang kaya menghitung hasilnya, sedangkan jiran di sebelahnya tubuh menggeletar kelaparan.
Letaklah ratusan bahkan ribuan CCTV di mana-mana ceruk, sudut bangunan dan jalan sekalipun, itu semua tidak bererti jika tiada sensitiviti dan tindak balas masyarakat. Ya, bila tubuh sudah terbujur kaku dan bahan bukti sekadar tontonan di mahkamah.
Suspek-suspek kes bunuh awalnya bak ‘malaikat’ di depan mata, tetapi bertukar setan atau jembalang tidak terduga. Arwah Suzaily Mukhtar, Nurin Jzimin, Nr Farah Katini, Istiqomah, Ah!
Rajin-rajinlah mak bapa dan anak-anak saling bertanya khabar. Kongsikan lokasi terakhir di luar rumah. Pastikan tidak berada pada masa dan tempat yang salah.
Mak menghadap Ilahi pada 9 Oktober 2019. Ayah pula menyusul empat tahun kemudian, 26 Februari 2023.
“Balik…gelap dah, setan banyak,” pesanan arwah mak kekal dalam ingatan sampai bila-bila.
Ibu bapa zaman ini teruslah bising-bising kepada anak-anak. Amalkan sejak mereka kecil lagi hingga dewasa beranak pinak. Agar terus menjadi teladan dan pedoman – pokok penghalang isu-isu sosial dan siri jenayah sadis yang membadai hari ini.
www.zukidin.com {Estd 2012}
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.zukidin.com/2024/09/balikgelap-dah-setan-banyak.html