Bagaimana Mujahadahnya Nenek Moyang Melayu Menunaikan Ibadah Haji
Rukun Islam ke 5 iaitu menunaikan ibadah haji difardukan kepada mereka yang berkemampuan baik selamat perjalanan, cukup bekalan serta urusan pemergian. Sejarah alam Melayu membuktikan umat Islam di Nusantara telah menjejakkan kaki ke tanah suci sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi maka tak hairanlah Melaka digelar serambi Mekkah.
Pengorbanan nenek moyang Melayu menunaikan ibadah haji bukan kepalang ianya urusan hidup atau mati menempuh samudera hindi yang ganas dan padang pasir yang tandus.
Sedikit coretan pengalaman di bawah menceritakan mujahadahnya nenek moyang orang Melayu pergi tanah suci menunaikan ibadah haji di era selepas kejatuhan Uthmaniyyah
Haji Abdul Majid bin Zainuddin, Pegawai Haji Tanah Melayu yang pertama telah mencatatkan pengalamannya menunaikan haji pada tahun 1924. Antara catatan beliau yang menarik adalah seperti berikut:-
• Kos menunaikan haji sekitar 500 hingga 600 Ringgit Malaya.
• Jemaah haji akan bertolak atau mula belayar pada bulan Rejab iaitu lima bulan sebelum bulan Haji (Zulhijjah).
• Sebelum berangkat menunaikan haji, kenduri doa selamat akan diadakan oleh orang yang ingin menunaikan haji.
• Ada dua pelabuhan untuk berangkat ke Mekah iaitu Singapura dan Pulau Pinang.
• Pelayaran dari Tanah Melayu ke Mekah mengambil masa antara 13 hingga 17 hari.
• Sebelum kapal sampai ke pelabuhan Jeddah, kapal akan singgah di Pulau Camaran yang terletak sekitar 500 batu dari Pelabuhan Jeddah terlebih dahulu untuk dikuarantinkan. Semua jemaah mesti mandi dengan air garam dan mereka mesti mencuci pakaian mereka dengan wap pembasmi kuman.
• Kapal laut hanya akan berlabuh sekitar 5 batu dari pelabuhan kerana Pelabuhan Jeddah banyak batu karang.
• Dari kapal laut, jemaah haji akan menaiki perahu Arab yang dinamakan sebagai Dhow bersama semua barangan mereka menuju ke pelantar Pelabuhan Jeddah.
• Jemaah haji akan dipimpin oleh seseorang yang dinamakan sebagai Syeikh Haji yang mana bertindak sebagai mutawif dan pembimbing.
• Sampai di pelabuhan, barangan mereka akan diperiksa oleh kastam dan seterusnya mereka akan membawa barang mereka ke atas kereta keldai lalu di bawa ke rumah tumpangan yang telah disediakan.
• Kota Jeddah kotor, berdebu dan sempit serta banyak nyamuk dan lalat.
• Di situ ada telaga besar sebagai sumber air dan air di Jeddah tidak sebaik air di kampung2 Melayu.
• Jemaah haji tidak boleh tinggal di Jeddah lebih dari dua hari.
• Sebelum bertolak ke Mekah, jemah haji telah siap memakai ihram. Perjalanan dari Jeddah ke Mekah mengambil masa dua hari dengan menaiki unta. Seekor unta dinaiki oleh dua orang jemaah.
• Jemaah haji Tanah Melayu akan singgah bermalam di sebuah tempat yang bernama Bahra. Di sini terdapat orang2 Arab Badwi yang menjual kayu api. Setiap jemaah akan memasak sendiri nasi dan lauk yang mereka bawa dari tanah air.
• Masalah besar yang dihadapi oleh jemaah haji Tanah Melayu ialah bekalan air mereka sering dicuri oleh orang2 Arab ketika mereka bermalam. Ini menyebabkan mereka kehausan dalam perjalanan ke Mekah.
• Apabila sampai di Mekah, mereka akan menunaikan umrah terlebih dahulu yang dinamakan di kalangan orang Melayu sebagai ‘haji kecil’.
• Sumber air di Mekah jauh lebih bersih dari Jeddah kerana terdapat air yang dialirkan dari pergunungan Taif ke Mekah melalui terusan Zubaidah.
• Di sekeliling Kaabah, terdapat empat buah pondok iaitu tempat imam2 bagi keempat2 mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.
• Pada satu dan dua Ramadan, jemaah haji Tanah Melayu akan berangkat ke Madinah bagi menziarahi masjid dan makam Nabi SAW.
• Selepas menunaikan tawaf wida’, jemaah haji Tanah Melayu akan menaiki unta untuk menuju ke Madinah. Perjalanan ke Madinah mengambil masa 13 malam.
• Jalan dari Mekah ke Madinah ada dua yang pertama dinamakan sebagai Jalan Sultan dan yang kedua dinamakan sebagai Jalan Ghir.
• Jika jemaah haji melalui Jalan Sultan, maka mereka akan singgah di 11 buah perhentian untuk berehat iaitu Wadi Fatimah, Asfan, Dof, Qadimah, Rabigh, Mastura, Bir Syaikh, Bir Hassan, Bir Khalas, Bir Abbas dan Bir Darwish.
• Jemaah haji hanya akan melakukan perjalanan pada waktu malam kerana mengelak cuaca yang panas. Perjalanan setiap hari bermula sekitar pukul 4 petang dan singgah berhenti pada pukul 4 pagi.
• Sepanjang dalam perjalanan, jemaah haji tidak dibenarkan mengambil air telaga kerana telaga2 adalah milik puak2 Arab Badwi. Maka mereka terpaksa membeli air2 yang dijual oleh Arab Badwi yang mana air2 itu dibawa dengan bekas kulit kambing.
• Walau bagaimanapun, di Wadi Fatimah terdapat saluran air semulajadi. Maka di sinilah rombongan jemaah haji berpeluang untuk mandi dan membasuh baju dengan percuma.
• Disebabkan perjalanan dilakukan pada waktu malam, rombongan jemaah haji terdedah dengan bahaya rompakan dan peras ugut dari puak2 Badwi. Ramai jemaah haji yang dirompak dan diperas ugut. Ada yang ditahan selama beberapa hari yang menyebabkan mereka tiba di Madinah lebih dari 13 malam. Malah ada yang dibunuh.
• Jemaah haji penulis sendiri ditahan di Bir Abbas selama 9 hari.
• Semasa zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah, perkara ini tidak berlaku kerana setiap rombongan jemaah haji akan diiringi oleh tentera2 Uthmaniyah.
# _Ada banyak lagi catatan yang menarik yang dikongsikan oleh Haji Abdul Majid terutamanya tentang peristiwa haji. Setakat ini dulu perkongsian saya buat kali ini. Jika ada waktu, saya akan kongsikan lanjutan catatan kisah mengerjakan haji oleh Haji Abdul Majid ini. Betapa mujahadahnya nenek moyang kita dulu mengerjakan haji. Itu belum lagi diceritakan tentang kesusahan semasa dalam pelayaran sehingga menyebabkan ramai yang meninggal dunia._
Kredit :
_Ustaz Hasanuddin Yusof,_
_Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam._
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.krissmerah.com/2020/05/bagaimana-mujahadahnya-nenek-moyang.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+krissmerah+(Kriss+Merah.com+(Blogger+Melayu))