Anwar Perlukan Hadi Untuk Bina Malaysia
MINDA SABTU
Tokguru jadi timbalan, macam mana?
TIBA-TIBA sahaja perhatian umum kini tertumpu kepada Selasa depan 13 Oktober dimana hari yang diuar-uarkan Anwar Ibrahim dikatakan akan diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Menghadap Agong sesuatu yang bukan luar biasa, apa lagi Al Sultan Abdullah baru sahaja kembali ke Istana selepas menerima rawatan kerana sedikit kegeringan.
Ada keperluan Anwar atas kapasiti sebagai Ketua Pembangkang menziarahi Al Sultan Abdullah. Ziarah menziarah menjadi tradisi dan budaya orang Melayu sejak lama dahu. Anwar sebagai rakyat biasa menziarah seorang Sultan sesuatu yang bukan pelik sebaliknya adalah sangat wajar bagi menandakan kasih kepada Duli Tuanku.
Mungkin sebelum ini Muhyiddin Yassin sebagai memanda perdana menteri sudah pun diterima menghadap untuk ziarah Al Sultan, dan begitu juga dengan menteri kanan dan kiri lain, para Duta dan sebagainya cuma ia tidak dihebohkan sebagai satu berita penting.
Cuma apa yang sedikit menggemparkan dengan kunjungan Anwar nanti kerana ia dikaitkan dengan sidang akhbar dibuat ahli Parlimen Port Dickson itu sebelum ini yang mengisytiharkan kerajaan PN dibawah pimpinan Muhyiddin sudah hilang sokongan, dan kerajaan PN sudah tumbang? Anwar dakwa beliau sudah mendapat sokongan untuk kemungkinan angkat sumpah sebagai perdana menteri baru.
Jadi pertemuan Anwar dengan Agong kelak diperkirakan penting ada hubung kait dengan apa disebut itu. Kerana itu ia menjadi tumpuan dan ditunggu-tunggu. Bagaimana pun persoalan masih berlegar-legar dalam benak kita semua apakah tujuan, matlamat dan hasil pertemuan itu nanti?
Harapan berbeza.
Mereka yang sudah kesekian lama mendambakan Anwar jadi PM pertemuan itu nanti akan mengharapkan sesuatu natijah bermakna memenuhi harapan dan impian mereka. Jadi kini orang semua menanti dengan penuh sabar dan berdebar-debar bercampur gusar.
Sebaliknya bagi mereka yang sudah dapat membaca kilau dalam kilat dan tidak senang dan muak dengan cara Anwar berpolitik, menganggap pertemuan itu kelak tidak membawa apa-apa erti dan maknanya. Ia hanya sebuah gimik tidak lebih sebagai silat kunta sebagai seorang ahli politik semata-mata. Justeru mereka tidak begitu cemas namun tetap memberi perhatian kerana menyedari bahawa dunia politik itu dunia serba mungkin, apa-apa sahaja boleh berlaku.
Kalau semasa berlakunya kudeta menyebabkan kerajaan PH tumbang ia terjadi tanpa sedikit pun air di tasik meriak, dan tiada secalar tanda pun di langit, tiba-tiba berlaku, maka ada juga yang membaca sesuatu peristiwa akan datang akan melalui proses terjadi dalam senyap dan sunyi begitu. Demikian juga diharap dengan apa yang bakal berlaku 13 Oktober nanti. Ia boleh berlaku dengan penuh taktikal.
Di sini biarlah saya mengambil sikap positif dengan apa akan berlaku kelak. Dengan mengira pertemuan Anwar dengan Al Sultan nanti memberi natijah dan membawa perubahan baru, saya sangat berharap ia akan berlangsung dalam suasana penuh keharmonian dan semangat norma baru. Sekiranya berlaku peralihan kerajaan dengan Anwar sebagai PM, saya berharap ia membawa tuah dan rahmat tidak ternilai dan boleh menyelesaikan sebahagian besar masalah yang sedang melanda negara kini.
Anwar dan sesiapa menyokong beliau perlu memanfaatkan peluang itu demi negara.
Sesuatu yang boleh kita letakkan dalam kepala, mungkin bencana pandemik Coronavirus yang melanda negara dan seluruh dunia kini dan bangkit kembali sehari dua ini memberi petanda penting untuk semua menyiapkan diri. Mungkin ia adalah isyarat untuk kita semua membuat muhasabah diri dan melakukan pengorbanan tiap daripada kita.
Mungkin Covid menjadi aktif dengan tiba-tiba dengan jumlah kes lebih tinggi adalah satu alamat dan mesej kepada rakyat negara ini agar bersatu di antara satu sama lain untuk menghadapinya.
Coronavirus itu seperti mahu menghukum atas kelalaian rakyat negara ini yang obius berpolitik. Justeru terpenting peralihan kuasa kelak boleh dijadikan momentum ke arah penyatuan itu untuk berhadapan dengan Covid dan perubahan itu sebagai tanda keinsafan.
Ternyata apa yang ada hari ini menunjukkan Muhyiddin tidak larat (letih) untuk membendung pandemik berkenaan. Walaupun bukan tugas beliau sendirian tetapi kedudukannya selaku PM tidak menjadi simbol kesatuan dan penghormatan rakyat terhadapnya untuk bersama-samanya melawan Covid menjadikan beliau letih.
Jadi adalah baik kalau beliau berundur, berihat mengusap keletihan dan memberi ruang bagi hadir seorang PM baru yang lebih mampu untuk berhadapan dengan bencana berkenaan. Muhyiddin juga akan dihormati kalau beliau mengambil sikap itu dengan baik.
Di sini saya ada satu permintaan (cadangan mungkin bercanggah dengan pandangan umum) untuk Anwar Ibrahim kalau beliau ditakdir menjadi perdana menteri. Apa yang saya harapkan beliau akan jadi PM untuk seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, anutan agama dan bangsa dan merentasi sempadan perasaan dan dendam. Beliau tidak perlu jadi PM untuk Melayu dan Islam, sebaliknya menjadi PM untuk Malaysia yang didalamnya ada Islam, ada Budha, ada Kristian ada Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Janganlah nanti bila jadi PM hanya untuk sesuatu kumpulan dan golongan politik sahaja dan melakukan pengasingan puak dan golongan. Jadilah PM benar-benar untuk Malaysia. Hanya dengan cara itu seorang PM boleh menjadi simbol penyatuan ke arah membawa kemakmuran kepada negara. Mungkin hasrat ini sukar untuk dilaksanakan, tetapi ia adalah cabaran buat seorang perdana menteri untuk merealisasi impian ini.
Sehubungan itu, saya mencadangkan kepada Anwar dalam mengambil kira semua pihak itu, undanglah sama mereka yang bertentangan dari segi ideologi politik atau mempunyai masalah peribadi untuk duduk dalam kabinetnya. Sosok paling penting dan utama untuk Anwar undang dan jemput ialah Abdul Hadi Awang. Anwar harus menawarkan kerjasama tanpa batas dengan Pas dan jika perlu lantikan Hadi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Anwar perlu mengundang dan mengajak Abdul Hadi secara terhormat dan tulus untuk sama-sama membela negara tanpa prejudis dan bersifat politik. Mereka berdua perlu melupai soal-soal politik remeh temeh (rubbish), kepentingan diri dan prinsip yang bersifat furuk. Perkara ini tidak menjadi masalah kalau keduanya kembali ke matlamat dan fitrah selaku hamba Allah di atas muka bumi ini berdasarkan firman yang bermaksud, "aku jadikan jin dan manusia untuk beribadah kepada-Ku".
Saya cukup yakin kalau mereka berdua menyatu ia memberi rahmat besar kepada negara. Kebetulan keduanya ada kepakaran masing-masing yang kalau digabungkan boleh memberi kebaikan dan keuntungan kubra kepada negara dan juga dunia Islam lainnya. Betapa besar dan gah nya mereka berdua, jika boleh diibaratkan kepada cakerawala, Anwar adalah Matahari manakala Abdul Hadi adalah Bulan.
Kedua cakerawala itu mengeluarkan nur dan haba tersendiri untuk manfaat dunia dan segala makhluk. Dunia menjadi berarti kerana adanya Matahari dan Bulan. Di siang hari dunia diterangi oleh cahaya Matahari manakala di malam hari ia diterangi cahaya Bulan.
Siapa tidak kenal Abdul Hadi Awang yang dihormati oleh dunia Islam di sebelah Timur Tengah, manakala siapa tidak kenal Anwar dihormati dunia Islam di sebelah Timur dan Barat. Mereka berdua tersohor adalah "Mujaddid" bangsa dalam nilai tersendiri. Jadi kalau kedua mereka bersatu Malaysia akan gemilang dan akan dihormati oleh dunia Islam seluruhnya.
Apakah tidak terfikir oleh kedua mereka untuk bersatu dan bekerjasama? Apakah mereka tidak pernah terfikir sengketa politik yang berlaku di antara kedua mereka disebabkan prinsip, perbezaan pendekatan dan ideologi itu telah merugikan negara dan agama, dan betapa kalau mereka bersatu ia membawa rahmat besar? Anwar dan Hadi tidak perlu memimpi masa akan datang yang berbeza tetapi perlu mengingati masa silam ketika bersama yang indah.
Mereka kini seolah-olah saling membelakang antara satu sama lain walhal punya nawaitu suci yang sama, menegakkan Islam. Mereka lupa realiti mereka sebagai bangsa Melayu beragama Islam tindakan dan sikap mereka itu bercanggah dengan tuntutan Islam. Kenapa mereka jadi demikian mungkin juga mereka terlupa diri atau kerana tanpa disedari mereka dipecahkan oleh musuh-musuh Islam. Mereka, kerana masing-masing mengejar cita-cita peribadi mereka terlupa tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah menjaga dunia (negara) ini.
Mereka berdua juga perlu berjiwa besar dan berani melakukan tajdid politik demi ummah dan negara. Apa yang mereka lakukan akan menjadi model kepada dunia lainnya nanti khasnya dunia Islam yang kini rata-rata teraba-raba kepatahan jarum kompas untuk menjadi satu method pemerintahan. Betapa kalau Anwar yang dilihat sebagai seorang penganut aliran Islam moden progresif bekerjasama dengan Abdul Hadi seorang Islam konsavertif, akan memperlihatkan satu wadah baru yang unik dan mengkagumkan. Pastinya gabungan mereka disanjungi dunia Islam.
Mengenai hierarki Abdul Hadi dalam kabinet sebagai timbalan perdana menteri juga munasabah kerana waktu ini Pas lah satu-satu parti setanding dengan PKR pimpinan Anwar. Kedua-dua parti ini, waktu ini yang sedang mendapat perhatian umum dan didambakan rakyat selain daripada DAP untuk bina negara.
Mungkin pandangan dan [permintaan saya ini dianggap tidak siuman atau pun bercanggah dengan lurah pemikiran umum) tetapi saya ada dalil dan capaian politik sendiri kenapa mengajak dan perlu mereka bersatu. Seperti saya sebut di atas tadi. Saya berhak mempunyai pandangan sebegini kerana saya tidak mengamalkan politik rasis, tidak taksub dan bersifat rasional bukan emosional seperti kebanyakan pengikut politis masing-masing.
Makanya kalau Anwar ditakdir diberikan kuasa dan keizinan membentuk kerajaan Malaysia dalam era dan masa penuh pancaroba ini, sang Reformis itu hendaklah mengajak dan mengundang sama Abdul Hadi dan Pas tanpa perlu banyak merujuk. Bukan itu sahaja, kelestarian kerajaan Malaysia selepas ini juga menuntut kerjasama lebih global dengan pelbagai puak dan golongan politik. Sebenarnya kita sudah sangat terlewat untuk keluar dari perkuk dan kepompong politik Melayu jahiliah.
Bukan sahaja Pas, tetapi Umno dan Bersatu juga perlu dipanggil dan diajak sama untuk membincang ke arah kesejahteraan dunia. Berhenti dan tamatlah bermain politik untuk kepentingan diri kalau pun tidak untuk selama-lamanya tetapi cukup untuk seketika. Setidak-tidaknya sehabis penggal ini atau setelah redanya Coronavirus yang relatif merobek negara ini. [wm.kl.1:48 pm 10/10/2020]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://msomelayu.blogspot.com/2020/10/anwar-perlukan-hadi-untuk-bina-malaysia.html