Annuar Nafi Wujud Campur Tangan Prosiding Lembaga Disiplin Umno
MALAYSIAKINI 
Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa menegaskan bahawa kepimpinan parti tidak masuk campur dalam hal jawatankuasa disiplin parti.
"Adalah  ditegaskan jawatankuasa disiplin adalah sebuah jawatankuasa yang  dibentuk berdasarkan perlembagaan parti dan bebas. Ia kekal demikian.
"Adalah  ditegaskan bahawa adalah tidak benar wujud campur tangan dalam proses  atau prosiding jawatankuasa disiplin," katanya dalam kenyataan media  hari ini.
Kenyataan media itu hadir selepas Pengerusi Lembaga  Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali mendakwa wujud campur tangan dalam  prosiding disiplin terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin  Hussein.
Prosiding, yang sepatutnya berlangsung Khamis lalu, ditangguh.
"Saya tidak arahkan sebarang penangguhan, ada yang tidak kena," katanya Apandi sebelum ini.
Apandi  juga berkata beliau mengarahkan setiausaha lembaga itu untuk  menyediakan surat peletakan jawatannya sebagai pengerusi kerana beliau  "tidak sanggup menjadi kuda tunggangan".
Bagaimanapun, Annuar  berkata beliau belum menerima surat peletakan jawatan Apandi dan  berharap perkara itu dapat dijelaskan sebaik bekas peguam negara itu  pulang dari luar negara.
"Saya telah berkesempatan menghubungi Apandi, dan sahih beliau sedang bercuti di luar negara,
"Saya  telah diberi sedikit gambaran apa yang telah berlaku, dan bersetuju  perkara ini perlu dibincang secara tertib apabila Apandi pulang dari  bercuti
"Beberapa kekeliruan mengenai proses dan tindakan  jawatankuasa disiplin akan dimurnikan apabila jawatankuasa tersebut  bermesyuarat secara bebas dan dipengerusi sendiri oleh Apandi," katanya.
Annuar juga berharap semua pihak dapat menghormati kedudukan jawatankuasa berkenaan.
Isu berhubung tindakan lembaga disiplin terhadap Hishammuddin dilihat mewujudkan pergeseran dalam parti itu.
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam mendakwa presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi menghalang prosiding disiplin berkenaan.
Susulan  itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor dan Ketua  Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Md Shah menyeru pemecatan Lokman.
Lokman pada Oktober lalu memfailkan aduan disiplin terhadap Hishammuddin.
Aduan  disiplin terhadap Hishammuddin adalah atas dakwaan bahawa bekas menteri  itu terlibat dalam tindakan Ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu serta  memainkan peranan dalam menganjurkan mesyuarat Ahli Parlimen Umno dengan  Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Hishammuddin telah menafikan salah laku dan menyatakan kesediaan untuk disiasat. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/annuar-nafi-wujud-campur-tangan.html