Annuar Musa Jauh Di Sudut Hati Dr M Harap Calon Bn Menang Prk
MALAYSIAKINI        
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mendakwa "jauh di sudut hati"  Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad mahu calon BN menang  dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Jan ini.
Jelas  Anggota Parlimen Ketereh itu, dalam perjumpaan pemimpin Umno dan  Mahathir sebelum ini, perdana menteri itu mencadangkan pembubaran Umno  kerana "tidak tahan dengan desakan DAP".
“Bila Mahathir panggil  pemimpin Umno untuk membubarkan Umno dan memperkuatkan parti dia, alasan  Mahathir beri adalah dia tersepit dan tidak tertahan dengan apa yang  DAP sedang lakukan kepada dia.
“Jadi saya berani nyatakan dalam  hati kecil Mahathir pun dia nak calon BN menang dalam PRK Cameron  Highlands ini,” katanya ketika berucap dalam ceramah umum bersama  pemimpin PAS di Kampung Beletik, Jelai Ahad lalu, seperti dipetik MediaUmno semalam.
Pada 13 Dis lalu dua keping gambar menunjukkan Mahathir bertemu enam individu menjadi tular dan menimbulkan keresahan di kalangan penyokong parti politik.
Penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin kemudian mengesahkan gambar itu tulen dan dirakam pada 22 Okt lalu.
Antara yang hadir pertemuan itu ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, bekas menteri  wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas menteri kpdnkk Hamzah  Zainuddin, bekas menteri undang-undang Shahidan Kassim dan bekas menteri  pembangunan luar bandar Noh Omar.
Mahathir bagaimanapun sebelum ini menjelaskan pemimpin Umno berkenaan datang bertemu beliau kerana ingin menyatakan hasrat meninggalkan parti dan meminta nasihatnya.
Sementara  itu, Annuar dalam ucapannya di Jelai memberi gambaran bahawa beberapa  keputusan yang dibuat Mahathir adalah kerana akur kepada jumlah kerusi  yang dimenangi oleh parti itu komponen PH.
“Kalau boleh Mahathir  pun tidak mahu menteri kewangan dipegang oleh Lim Guan Eng tapi bercakap  bab parti, okay, kamu nak jadi perdana menteri okay.
"(Pemimpin)  PKR nak jadi timbalan perdana menteri, okay. Tapi dia (DAP) nak duduk di  mana-mana. Maka dia pilih jawatan yang paling berkuasa daripada perdana  menteri iaitu menteri kewangan.
“Mahathir  23 tahun jadi perdana menteri tidak pernah meluluskan peruntukan kepada  sekolah-sekolah persendirian Cina yang tidak mengikut dasar pelajaran  kebangsaan kerana setiap wang negara yang hendak dibelanjakan mesti  lulus dalam Parlimen baru boleh dibelanjakan.
“Perbelanjaan untuk  sekolah Cina persendirian yang tidak mengikut dasar pelajaran kebangsaan  sebenarnya tidak sah untuk dibelanjakan daripada tabung wang kerajaan  tetapi kuasa menteri kewangan boleh mengatasinya,” kata Annuar.
BN  meletakkan bekas pegawai polis Ramli Mohd Noor sebagai calon, sementara  PH mempertatuhkan Manogaran dari DAP untuk merampas kerusi berkenaan. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/annuar-musa-jauh-di-sudut-hati-dr-m.html