Anda Hilang Pekerjaan Ini Cara Mudah Jana Pendapatan Tanpa Perlu Modal Besar
Anda baru diberhentikan kerja oleh majikan? Hilang pekerjaan setelah menerima tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS)?
Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ketika ini, memang sukar untuk mencari pekerjaan baharu yang sesuai dengan kelulusan dan pengalaman, lebih-lebih lagi bagi mereka yang agak berusia.
Tidak perlu bimbang kerana sebenarnya ada banyak peluang yang boleh dimanfaatkan bagi mereka yang ingin mencari pendapatan selain daripada bekerja sepenuh masa seperti dahulu.
Lebih menarik, anda tidak perlu mengeluarkan modal yang besar untuk memulakannya.
Kaji selidik pasaran
Terdapat banyak syarikat yang memerlukan responden untuk menjawab kaji selidik tentang pasaran. Antaranya Survey2u, Global Test Market dan YouGov.
Peserta boleh menebus mata yang dikumpulkan dengan wang tunai, tambah nilai prabayar talian telefon atau baucar bagi membeli produk tertentu.
Penulis kandungan bebas
Kredit foto: Cari
Perkembangan pesat media baharu di Malaysia menyaksikan kemunculan portal-portal seperti Cari yang menyediakan kandungan segar dan menarik untuk pembaca.
Bagi yang mempunyai bakat menulis, mereka boleh menyumbang artikel sebagai penulis kandungan bebas bagi menjana pendapatan sampingan.
Pereka bebas
Kredit foto: Template Trip
Mereka yang mempunyai pengalaman bekerja sebagai artis grafik, pereka laman web dan pengilustrasi boleh menawarkan perkhidmatan kepada pihak yang berminat.
Sediakan portfolio yang mempamerkan hasil kerja anda dalam laman web atau blog dan kongsikannya dalam media sosial untuk memancing bakal pelanggan.
Penulis blog
Kredit foto: Blogger
Anda bebas menulis apa sahaja topik yang diminati seperti hobi, politik, seni, muzik, perniagaan atau teknologi dalam laman blog asalkan tidak melanggar undang-undang negara dan tidak menciplak karya pihak lain.
Daftar dengan Adsense apabila laman blog anda memenuhi kritera yang ditetapkan untuk menjana pendapatan melalui iklan.
YouTube
Kredit foto: YouTube
Buka saluran YouTube anda sendiri untuk memuat naik rakaman video berkaitan topik yang diminati seperti melancong, hobi dan tips yang boleh dikongsi bersama penonton.
Apabila jumlah tontonan dan pengikut saluran YouTube mencapai kriteria yang ditetapkan oleh Adsense, anda boleh memohon untuk tayangan iklan pendek dalam video-video yang ditayangkan.
E-dagang
Kredit foto: Mudah.my
Platform e-dagang membuka ruang kepada individu untuk menawarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pelanggan tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membuka kedai atau pejabat.
Selain portal e-dagang sedia ada seperti Mudah.my atau e-Bay, anda boleh menggunakan saluran-saluran seperti Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, WhatsApp, laman web dan blog untuk mempromosi serta menjual produk dan perkhidmatan anda.
Gunakan masa yang terluang selepas 'keluar' dari alam pekerjaan sepenuh masa untuk meneroka peluang-peluang baharu yang berpotensi menjadi sumber pendapatan utama anda. Belum cuba, belum tahu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://informasisantaiku.blogspot.com/2019/01/hilang-pekerjaan.html