Anak Rimau The Movie Mengasah Bakat Lakonan Beto Kusyairy Sebagai Coach Zainal
Lakonan aktor handalan, Beto Kusyairy tidak perlu dipertikaikan, malah, namanya sekali lagi menjadi sebutan apabila menunjukkan kehebatan dalam filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, baru-baru ini.
Namun, di sebalik itu, ada yang beranggapan Beto mungkin akan semakin ‘demand‘ dengan meletakkan harga lebih tinggi dari segi bayaran
Beto berkata, kejayaan filem Mat Kilau tidak membuatkannya berubah, masih seperti dulu
“Saya masih Beto yang dulu, harga ditetapkan juga setimpal dengan kerja lakonan dan pengalaman dalam bidang seni. Saya bekerja bukan untuk diri sendiri, tetapi demi naskhah diamanahkan. Jika bekerja untuk karya, saya akan memberikan yang terbaik. Keikhlasan perlu ada dan itu antara sebab saya masih bertahan sehingga hari ini,” katanya.
Mengenai naskhah, kata Beto, dia memang seorang yang memilih skrip dan karya sejak dulu
“Saya memilih skrip dan mahu bekerja dengan pengarah serius dan tidak main-main ketika berkarya,” katanya
Mengulas persepsi peminat yang membandingkan lakonannya sebagai Wahid lebih menyerlah daripada watak utama, Mat Kilau lakonan Adi Putra, Beto berkata, tidak adil berbuat demikian
“Watak Wahid ditulis skrip lebih banyak konflik dengan isteri, drama dan tragedi berbanding watak Mat Kilau lakonan Adi. Mat Kilau ditulis kurang dramatik. Justeru, tidak adil untuk peminat membandingkan siapa lebih menonjol atau sebaliknya,” katanya
Pada masa sama, Beto berkata, tidak berasa risau filem Anak Rimau The Movie lakonan turut bertembung dengan filem Air Force The Movie Selagi Bernyawa lakonan Adi di pawagam. Sebagai pelakon kita perlu meraikan kepelbagaian genre dalam industri. Dari segi genre sudah berbeza, filem Anak Rimau The Movie bergenre sukan, manakala Air Force Movie Selagi Bernyawa pula bergenre aksi,” katanya
Mengulas filem Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd, Beto berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem arahan Areel Abu Bakar itu kerana tertarik dengan skripnya
“Saya melakonkan watak jurulatih sukan bola sepak, iaitu Coach Zainal. Saya bukan pemain bola sepak, tetapi memang minat sukan bola sepak dan ada pasukan yang diminati. Saya juga bukanlah kaki bangku kerana bermain bola sepak untuk mengeluarkan peluh,” katanya.
Namun, kata Beto, dia juga ada pengalaman dalam bidang sukan lain seperti silat olahraga
“Sebenarnya, saya hampir mewakili pertandingan Silat Olahraga peringkat remaja Selangor pada zaman sekolah dulu. Justeru, memang tidak asing komitmen tinggi dan disiplin sebagai ahli sukan, sekali gus saya praktikkan dalam filem ini,” katanya
Ditanya cabaran watak, katanya, dia bertuah menimba pengalaman bersama barisan pelakon baru yang juga pemain bola sepak muda kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang turut membintangi filem berkenaan,
“Mereka mendapat bimbingan dan bengkel lakonan dari guru lakonan terkenal, Fatimah Abu Bakar. Selain guru lakonan, kami juga dibantu jurulatih bola sepak dari AMD, Osmera Omaro yang juga penasihat dalam filem. Justeru, saya tiada masalah untuk mendapat keserasian dengan barisan pelakon muda dari AMD kerana mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan dari segi dialog, penghayatan watak, lakonan dan sebagainya di lokasi penggambaran,” katanya.
Selain Beto, filem menelan belanja RM5.5 juta turut mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy
Turut membintangi, Azhan Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady. Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam
Ia turut menampilkan barisan pelakon pembantu Iaitu Mustakim Bahadon, Taiyuddin Bakar, Megat Sharizal dan ramai lagi. Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi
TRAILER ANAK RIMAU THE MOVIE
MUZIK VIDEO ANAK RIMAU THE MOVIE - PENTAS DUNIA
Anak Rimau The Movie akan ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September ini. Filem Anak Rimau The Movie dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ruby.my/2022/08/anak-rimau-movie-mengasah-bakat-lakonan.html