Akta Anti Lompat Parti Boleh Dipinda Atasi Kelompangan Wan Junaidi
Oleh: Helmi Mohd Foad
Yang Dipertua Dewan Negara berharap pindaan Perlembagaan
Persekutuan membabitkan Akta Anti Lompat Parti dilakukan semula sebagai langkah
mengatasi kelompangan pada undang-undang tersebut.
Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar, kiri)
berkata, langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik negara pada
masa akan datang ekoran perbuatan Ahli Parlimen Bebas memindahkan sokongan.
Kata beliau pihaknya menyedari daripada awal rang undang-undang
pindaan tersebut (anti lompat parti) dibawa ke Dewan Rakyat, ia sudah mempunyai
kelemahan dan kurang berkesan menangani perbuatan lompat parti atau pindah
sokongan.
"Rang undang-undang diluluskan di Parlimen itu adalah satu
kompromi untuk mendapatkan sokongan di Dewan Rakyat pada 2022 dan dapat
perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Ada dua tiga perkara yang kita sepatutnya masuk tidak
dimasukkan kerana bantahan beberapa pihak yang ada dalam kerajaan (ketika itu
PN) sebagai kompromi," katanya kepada pemberita selepas program Bicara
Tokoh di pejabat Majlis Profesor Negara (MPN), Kajang semalam.
Hadir sama Presiden MPN Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Ros.
Akta Anti Lompat Parti diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat
pada 28 Julai 2022 melalui pindaan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Semasa undi belah bahagi yang diumumkan, seramai 209 Ahli Parlimen
mengundi menyokong dan 11 lagi tidak hadir.
Pembentangan RUU itu adalah salah satu syarat utama memorandum
persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob dan Pakatan Harapan (PH).
Susulan itu, pindaan sama dilakukan di peringkat Dewan Undangan
Negeri (DUN).
Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Undang-Undang) berkata draf asal yang dikemukakan pihaknya
memasukkan peruntukan seseorang Ahli Parlimen yang bercanggah pendapat dengan
parti dan tidak akur arahan ketua whipnya digugurkan keanggotaan dewan.
"Maka draf asal tetapi dua ciri itu digugurkan dan ini
menjadi persoalan apabila Ahli Parlimen (pembangkang) sokong kerajaan tidak
hilang kedudukan sebab tidak ada halangan dari sudut undang-undang.
"Kalau draf asal digunakan perkara ini tidak terjadi tetapi
nasi sudah menjadi bubur," katanya yang menjelaskan draf asal sudah
mengambil kira pengalaman masalah sedemikian di United Kingdom, India dan New
Zealand.
Wan Junaidi berkata, sekarang terpulang kepada kerajaan sama ada
mahu melakukan pindaan atau tidak.
Katanya walaupun kelompangan akta tersebut boleh diatasi melalui
pindaan dalam perlembagaan parti masing-masing namun perkara itu boleh dicabar
di mahkamah.
"Pindaan (undang undang) lebih elok untuk atasi kerana lebih
terperinci dan datang dari undang-undang dan bukan digariskan dari satu tempat
lain," ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Junaidi berkata pihak yang
menentang draf asal yang pada ketika itu melibatkan Bersatu dan Pas, yang perlu
akur arahan whip dan keputusan parti, akhirnya menerima kesan apabila ia
terkena kepada diri mereka sendiri.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/01/akta-anti-lompat-parti-boleh-dipinda.html