Aiskrim Pasu Cetus Fenomena Remaja Ini Kongsi Rahsia
Aiskrim pasu seolah-olah menjadi fenomena baru masa kini. FATIN FARHANA JAPRE lihat ramai remaja yang berkongsi cerita dan memuat naik gambar aiskrim pasu di laman sosial mereka
Sebelum ini, fenomena jeruk mangga asam boi yang menjadi buah mulut orang. Kini tidak lagi apabila aiskrim pasu pula mencetuskan fenomena baru. Boleh dikatakan menjadi kegilaan remaja sejak kebelakangan ini
Pastinya, pasu sangat sinonim dengan bunga yang dijadikan bekas tanaman, kini digunakan sebagai bekas aiskrim
Penulis akui terpedaya apabila melihat gambar aiskrim pasu yang dimuat naik rakan di laman sosial buat kali pertama kerana ia kelihatan seperti tumbuhan hijau yang baru hendak tumbuh dalam pasu yang dipenuhi tanah
Justeru itu, penulis menemu bual seorang remaja yang berniaga aiskrim pasu dan mencuba sendiri keunikan pencuci mulut yang hangat diperkatakan di laman sosial
Sementara menanti tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti, Jasmine Go Ke Wei, 18, mencuba nasib berniaga aiskrim pasu di Jonker Walk, Melaka. Dengan sokongan moral dan bantuan modal daripada keluarganya, kini sudah hampir tiga bulan dia berniaga di situ
Menurut Jasmine, dia mendapat idea menjual aiskrim pasu apabila melihat fenomena ini tersebar luas di media sosial. Dari situ, dia mencari resipi aiskrim pasu di Internet dan menyuarakan hasratnya kepada keluarga
Memandangkan Malaysia negara yang beriklim panas, aiskrim pencuci mulut yang menjadi kegemaran semua orang terutama remaja. Oleh itu, Jasmine tidak gentar dengan risiko kerugian yang akan dialaminya
“Sangat senang untuk menghasilkan aiskrim pasu. Tiada rahsia dalam resipi aiskrim pasu saya dengan orang lain, yang uniknya hanyalah aiskrim diletak ke dalam pasu dan kreativiti dekorasinya. Hari pertama berniaga, sudah mendapat sambutan daripada orang ramai
“Aiskrim perisa coklat, vanila dan pudina paling laris. Harga aiskrim pasu yang bersaiz kecil RM5 dan RM7 saiz besar. Membezakan saya dengan penjual aiskrim pasu yang lain ialah saya menyediakan enam jenis ‘topping’ seperti ‘cornflakes’ secara percuma kepada pelanggan untuk mereka menghias sendiri aiskrim pasu mereka
“Saya berniaga setiap hari di sini dari jam 10 pagi hingga 6 petang kecuali hujung minggu sehingga pukul 12 malam. Sehari, saya boleh jual lebih kurang 250 aiskrim pasu dan untungnya agak lumayan bagi lepasan sekolah seperti saya. Hari-hari mesti ada orang cari. Selain itu, aiskrim pasu ini saya promosikan di Facebook (Melaka Pot Ice Cream),” katanya
Percubaan penulis sendiri, aiskrim pasu ini sama seperti rasa aiskrim yang lain. Cuma cara hiasan dan pasu yang digunakan faktor semua orang ingin mencuba. Bagi yang belum mencuba, mesti fikir aiskrim terus dimasukkan ke dalam pasu. Sebetulnya, aiskrim diletak ke dalam cawan polisterin dulu dan barulah dimasukkan ke dalam pasu
Taburan hitam di atas aiskrim seperti tanah pula adalah biskut oreo yang dihancurkan manakala hiasan seakan anak pokok adalah daun pudina. Pendek kata, semuanya boleh dimakan kecuali pasu dan cawan polisterin.
“Remaja Melayu dan Cina yang gemar membeli aiskrim pasu saya. Malah, ada yang sudah menjadi pelanggan tetap. Melayu tidak perlu risau kerana aiskrim pasu ini memang halal dan saya tidak menggunakan bahan-bahan lain,” kata Jasmine
P/s: Mahukan kejayaan dan kisah yang sama seperti remaja-remaja ini? Panduan Mulakan Perniagaan Aiskrim ini mungkin boleh membantu anda. Semoga berjaya nanti ya
Sumber asal - Harian Metro
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.rujukanniaga.com/2018/01/aiskrim-pasu-cetus-fenomena-remaja-ini.html