Aidil Sharin Puji Anak Buah Baiki Kelemahan
ALOR SETAR 14 Jan. - Ketua Jurulatih Lang Merah, Aidil Sharin Sahak memuji semangat lawan yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika menentang Perak dalam aksi Piala Unity Shield di Stadium Darul Aman di sini, semalam.
Pengendali dari Singapura itu berkata, beliau telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam perlawanan itu, namun berharap dapat mengatasinya pada siri perlawanan persahabatan di Thailand, bermula Sabtu ini.
Ujar beliau, kehadiran kira-kira 25,000 orang penyokong Kedah juga memberi suntikan motivasi kepada pemain untuk mempamerkan permainan bermutu bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.
AIDIL SHARIN SAHAK semasa sidang akhbar selepas tamat Perlawanan Piala Unity Shield Kedah menentang Perak di Stadium Darul Aman di Kedah, semalam. - UTUSAN ONLINE/FARIZ RUSADIO“Memang ada sedikit tekanan beraksi di hadapan penyokong sendiri yang memenuhi stadium, lebih-lebih lagi kepada pemain-pemain baharu kerana hanya tiga pemain utama Kedah FA pada musim lepas beraksi dalam perlawanan ini.
“Namun, kredit harus diberi kepada mereka yang kembali pada separuh masa kedua sebagai pasukan yang berbeza terutamanya selepas kemasukan Syahrul Azwari Ibrahim, memandangkan kami diberi tekanan yang hebat pada awal babak perlawanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu, semalam.
Dalam aksi sulung Piala Unity Shield anjuran bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) itu, Lang Merah menundukkan Perak 2-0 hasil jaringan penyerang import, Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-67, dan Syahrul Azwari Ibrahim yang menanduk masuk gol kedua, sembilan minit kemudian.
Aidil Sharin Sahak yang mula mengemudi Kedah pada musim ini turut memuji jentera pertahanannya yang berjaya mengekang asakan penyerang Perak dalam perlawanan itu.
Tahap kecergasan yang dipamerkan pemain setakat ini amat baik, namun masih banyak perkara yang boleh diperbaiki hasil perlawanan ini meskipun kami memenanginya.“Apatah lagi perlu diingat, Perak salah satu pasukan yang hebat dan tidak menurunkan 100 peratus pemain utama mereka yang masih dibelenggu kecederaan,” ujarnya.
Kata Aidil Sharin lagi, beliau juga akan memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda Kedah untuk menonjolkan aksi masing-masing dalam perlawanan persahabatan di Thailand bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.
MUHAMAD AIMY AHMAD | 14 Januari 2019 12:53 PM | UTUSAN ONLINE
This document has been composed with the free HTML edior. Click here to give it a try.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://interpretzz.blogspot.com/2019/01/aidil-sharin-puji-anak-buah-baiki.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Interpretzz+%28interpretZZ%29