5 Sebab Dahi Dan Dagu Perlu Dikembalikan Pada Telefon Pintar
Hari ini Oppo memperlihatkan rekaan peranti dengan rekaan Waterfall Screen yang meletakkan skrin hingga ke bahagian sisi. Ini adalah evolusi seterusnya selepas pengenalan peranti hampir semua skrin dua tahun yang lalu. Pengeluar merasakan pengguna mahukan peranti dengan skrin yang semakin besar dan panjang tanpa meningkatkan saiz skrin yang besar. Akibatnya dagu dan dahi semakin mengecil sehingga kamera hadapan perlu diletakkan di dalam takuk, mekanisme pop naik, lubang pada skrin dan kelak kamera bawah skrin.
Tetapi kami merasakan trend terkini ini bukanlah inovasi yang diperlukan oleh pengguna. Oleh sebab itu kami ingin memberikan lima sebab mengapa telefon pintar dengan dagu serta dahi yang besar harus kembali semula ke pasaran.
1. Skrin Memanjang Masih Belum Dioptimasi Untuk Majoriti Kandungan Video
Kesemua pengiklanan peranti dengan skrin memanjang menunjukkan video dalam dimainkan pada nisbah sinematik seakan di panggung wayang. Tetapi realitinya 90% kandungan video di laman penstriman masih lagi menggunakan nisbah 16:9. Ini mengakibatkan video yang ditonton dari YouTube misalnya mempunyai dua palang hitam pada sisi kiri dan kanan. Jika video ditonton dalam mod skrin penuh, bahagian atas serta bawah video akan terpotong sehingga kelihatan aneh.
Masalah yang lebih serius berlaku apabila video ditonton dalam mod skrin penuh pada peranti dengan takuk skrin seperti iPhone X dan P30 Pro. Video yang ditonton kelihatan cacat kerana dihalang oleh takuk skrin tersebut.
Pada sesetengah perkhidmatan penstriman seperti HBO Go pula, tiada pilihan diberikan untuk memilih mod skrin penuh. Di dalam situasi ini video kekal dengan nisbah 4:3 menyebabkan palang hitam pada sisi lebih besar berbanding video yang ditonton. Pada skrin 16:9 sebelum ini, masalah palang hitam sisi yang besar jarang sekali berlalu.
Masalah menonton video dengan palang hitam ini akan berterusan untuk beberapa tahun lagi kerana kebanyakan siri TV dan filem masih lagi dirakam dalam nisbah 16:9. Malahan jika anda ke kedai elektronik sekarang, televisyen yang dijual masih lagi menggunakan nisbah 16:9.
2. Peranti Semakin Sukar Digunakan Sebelah Tangan
Saiz skrin telefon pintar banyak berubah sejak iPhone yang menjadi prototaip pertama dilancarkan sedekad yang lalu. Dengan saiz skrin yang semakin membesar, mengakses keseluruhan permukaan skrin juga menjadi semakin sukar. Dengan purata saiz telefon pintar sekarang sekitar 6″, bahagian atas dan hujung skrin mustahil untuk digunakan dengan sebelah tangan.
Pengeluar ada menyertakan mod sebelah tangan sebagai standard tetapi ini mengakibatkan sebahagian besar skrin tidak digunakan. Pada iOS skrin mengecil separuh dengan elemen atas antaramuka bergerak ke bahagian tengah. Pada Android skrin mengecil ke bucu dengan ruang berbentuk L terbazir hanya memaparkan warna hitam yang tidak berguna.
Dengan peranti seperti Sony Xperia 1 yang dilengkapi skrin 21:9, proses mengakses kesemua antaramuka menjadi lebih sukar kerana peranti perlu diimbang ketika dipegang. Hanya tiga tahun yang lalu kekerapan peranti terjatuh dari tangan ketika kami menggunakannya adalah sekitar 2-3 kali setahun. Sejak menggunakan peranti dengan skrin gergasi, ia meningkat ke dua bulan sekali. Semakin sukar untuk mengimbang peranti terutamanya ketika cuba menekan butang navigasi pada bahagian bawah skrin.
Peranti kini menjadi seakan pisau lipat Thanos yang perlu diimbang dengan teliti sepanjang masa. Hanya dua tahun yang ketika peranti masih berdagu, kedudukan butang navigasi adalah masih lagi mudah diakses tanpa jari perlu melakukan aksi akrobatik. Hanya sekarang kita menyedari mengapa dagu telefon pintar direka dengan saiz yang besar pada asalnya.
3. Tiada Audio Stereo Dan Gagang Telinga Fizikal
Tiada lagi peranti dengan sistem audio stereo yang menembak ke hadapan adalah perkara yang paling membuatkan kami membenci rekaan semua skrin sekarang. HTC One M7 menunjukkan dunia telefon mudah alih bahawa sistem pembesar suara Boomsound memberikan kualiti audio yang lebih baik berbanding pembesar suara mono dengan pada bahagian bawah dan belakang pada ketika itu. Sistem mereka kemudian ditiru pula oleh Sony.
Tetapi di pasaran sekarang peranti dengan sistem pembesar stereo menembak ke hadapan adalah spesis terancam. Pada iPhone XS Max misalnya sistem stereo masih disertakan tetapi dengan satu menembak ke hadapan dan satu lagi ke sisi. Audio yang dihasilkan langsung tidak seimbang. Tidak masuk akal pada tahun 2019 kualiti audio pembesar suara telefon pintar adalah lebih teruk berbanding Sony Xperia Z3 yang dilancarkan pada tahun 2014.
Tambah menyedihkan dengan keperluan dahi yang semakin menipis, pembesar suara untuk gagang telinga juga turut terancam. Huawei P30 Pro, Xiaomi Mi MIX dan Samsung Galaxy A80 adalah contoh tiga peranti yang tidak mempunyai pembesar suara gagang telinga fizikal. Ia digantikan dengan sistem piezoelektrik bawah skrin yang mengalirkan audio dari permukaan skrin ke telinga.
Kami mengulas ketiga-tiga peranti ini dan kualiti audio ketika melakukan panggilan telefon adalah tidak memuaskan sama sekali. Audio tidak selantang pembesar suara sebenar dan kerap kali tidak jelas walaupun menggunakan panggilan telefon VoLTE. Kami merasakan apa gunanya mempunyai skrin 6.4″ QHD AMOLED dengan sokongan HDR 10 jika audio tidak memuaskan dan panggilan audio terasa seperti berbual di dalam air.
4. Tiada Tempat Pemegang Yang Selesa Ketika Digunakan MendatarDagu serta dahi yang besar bukan sahaja perlu bagi meletakkan pembesar suara stereo tetapi amat perlu ketika peranti dipegang secara mendatar untuk menonton video atau menikmati permua. Permua sedikit sukar dinikmati sekarang kerana sebahagian telapak tangan menutupi skrin. Peranti menjadi kurang selesa untuk dipegang lama kerana tiada lagi dagu serta dahi.
Ketika menonton video pula, jari kerap tersentuh butang navigasi atas skrin pada peranti Android yang kami miliki. Ini mengganggu sesi tontonan siri TV dan filem kegemaran. Jika dagu dan dahi dikembalikan semula, masalah sentuhan tidak sengaja ini dapat dielakkan dengan lebih mudah.
5. Tiada Lampu LED
Ini mungkin perkara yang tidak dianggap penting untuk kebanyakan pengguna tetapi ia fungsi perlu bagi kami. Kami merindui penggunaan lampu LED yang boleh menunjukkan notifikasi yang diterima dan tahap pengecasan bateri. Dengan lampu LED, kami tidak perlu sentiasa menekan butang kuasa pada peranti semata-mata untuk melihat tahap bateri yang sedang dicas. Dahulunya lampu LED bertukar menjadi warna hitam dari merah adalah satu-satunya petanda yang diperlukan
Lampu LED juga boleh dikustomasi untuk memaparkan warna berbeza untuk setiap aplikasi. Dengan hanya melihat kerdipan lampu kami tahu sekiranya perlu mengangkat peranti kerana menerima emel baharu di GMail atau mesej peribadi di Twitter. Samsung menyelesaikan masalah ini dengan memperkenalkan lampu pada lubang kamera Galaxy S10 tetapi fungsi yang sama tidak pula disertakan pada Galaxy A80 kerana ia tidak mempunyai sebarang lubang kamera. Ketiadaan fungsi ini ketika mengulas Galaxy A80 adalah antara sebab artikel ini ditulis.
Kami yakin kami bukan bukan golongan minoriti yang merasakan merasakan trend meningkatkan peratusan keluasan permukaan skrin pada telefon pintar sebenarnya mengakibatkan peranti moden kini kekurangan fungsi jika dibandingkan dengan hanya dua generasi tiga tahun yang lalu. Adakah anda bersetuju dengan apa yang kami senaraikan di atas atau anda merasakan rekaan yang digunakan sekarang adalah selari dengan peredaran zaman?
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2019/07/5-sebab-dahi-dan-dagu-perlu.html