Wanita Terjebak Dengan Pelacuran Akibat Hutang Kenyataan Media Ppim 24 07 2025
KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bimbang dengan budaya berhutang masyarakat sehingga terjebak kepada jenayah dan perbuatan tidak bermoral.
Setiausaha Kerja PPIM, Zharif Johor berkata pihaknya telah menerima aduan dari kalangan mangsa keberhutangan Ahlong dimana mereka terpaksa menggadai maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutang akibat tekanan.
"Bukan sahaja mangsa terjebak dengan pelacuran, hutang kepada Ahlong juga semakin meningkat," katanya.
Akibat dikenakan bunga yang tinggi, mangsa terus terikat dengan hutang Ahlong dan tidak ada penyelesaian.
"Antara kes terbaru yang PPIM kendalikan adalah kes melibatkan seorang wanita berusia 20an," katanya.
Siti (bukan nama sebenar) bekerja sebagai jurujual di pasaraya dan seperti remaja lain dia mengharapkan masa depan yang baik.
Terperdaya dengan janji manis teman lelaki yang menjanjikan masa depan lebih cerah dan cinta sejati, Siti membuat pinjaman sebanyak RM20,000 Ahlong.
Wanita itu berkata teman lelakinya berjanji wang itu digunakan untuk modal perniagaan.
"Janji tinggal janji, lelaki itu menghilangkan diri selepas mendapat wang dan saya
harus menanggung seluruh hutang itu," katanya.
"Siang saya bekerja sebagai jurujual, malam, saya jadi pelayan di pusat hiburan, semuanya untuk bayar Ahlong. Tetapi duit itu masih tak cukup.”
"Akhirnya saya terjebak dalam dunia gelap, bermula dengan mencari ‘penaja’ di sebuah platform atas talian yang katanya hanya menjadi teman makan malam hakikatnya mahu beli tubuh wanita.”
"Saya dibayar antara RM800 hingga RM1000 untuk satu malam bersama. Dan saya, dalam keadaan terdesak, terpaksa benarkan sahaja," katanya.
Zharif Johor mengingatkan orang ramai hutang Ahlong bukan sekadar angka, ia datang bersama ugutan, bahaya, trauma dan kehancuran diri.
"Kami di PPIM sentiasa menasihati orang ramai untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan apa sahaja bentuk hutang terutamanya Ahlong. Jangan menjerat diri dengan hutang kerana amat sukar untuk mencari jalan keluar. Ramai dari kalangan masyarakat telah menjadi hamba duit kerana hutang yang mereka sendiri cipta." katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ppim4u.blogspot.com/2025/07/wanita-terjebak-dengan-pelacuran-akibat.html