Tragedi Dua Beranak Pergi Serentak Rupanya Dah 15 Tahun Menanti Cahaya Mata Ini
Petang tadi, negara dikejutkan dengan berita menyayat hati apabila seorang bayi lelaki dan bapanya meninggal dunia serentak dalam kejadian tragis di Kampung Perigi Hang Tuah, Melaka.
Kisah ini menjadi bertambah pilu apabila difahamkan pasangan suami isteri tersebut telah menanti hampir 15 tahun untuk mendapatkan cahaya mata ketiga, sebelum diuji dengan pemergian anak dan bapa sekaligus.
Mangsa, Nurul Effendy, dilaporkan rebah secara tiba-tiba akibat serangan jantung, sebelum bayinya yang berusia tiga bulan turut disahkan meninggal dunia setelah dipercayai tertindih lengan bapanya yang tidak lagi bernyawa.
Menurut adik kepada isteri arwah, Masturadiana Ibrahim, 33, dia merupakan individu yang dihubungi oleh Azura (isteri arwah) untuk mendapatkan bantuan sebaik kejadian berlaku.
l
“Kakak ipar saya ada maklumkan malam sebelum kejadian, abang (arwah) ada mengadu sakit dada. Tapi dia tak ke hospital sebab disangkakan hanya sakit biasa. Sebelum ni, abang cuma ada gout je, tak pernah pun disahkan ada masalah jantung,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, PBK II Mohd Supian Md. Dali menjelaskan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada hospital pada jam 9.58 pagi.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kebocoran gas berlaku. Pemeriksaan menyeluruh turut dibuat dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) yang pada awalnya bersiap siaga, telah dibatalkan selepas disahkan tiada unsur gas beracun. Arwah kemungkinan besar mengalami serangan jantung secara tiba-tiba,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, turut hadir memberi penghormatan terakhir di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka.
Beliau memaklumkan pihaknya akan membantu dari segi urusan pengebumian termasuk menyediakan van jenazah untuk membawa pulang jenazah dua beranak tersebut ke tanah perkuburan Islam berhampiran bagi proses pengkebumian.
Sumber: Sinar Harian
The post Tragedi Dua Beranak Pergi Serentak, Rupanya Dah 15 Tahun Menanti Cahaya Mata Ini appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/tragedi-dua-beranak-pergi-serentak-rupanya-dah-15-tahun-menanti-cahaya-mata-ini/