Opr Turun Apa Maksudnya Untuk Anda Dan Ekonomi Malaysia
OPR turun buat pertama kali sejak Mei 2023 apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.
Penurunan ini bertujuan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara di tengah ketidaktentuan global dan tekanan inflasi yang sederhana.
Menurut BNM, kadar siling dan lantai koridor OPR juga diselaraskan kepada 3.0% dan 2.5% masing-masing.
Keputusan ini dibuat setelah kadar OPR dikekalkan sebanyak 12 kali berturut-turut sejak tahun lalu.
Baca juga: Kad Kredit Maybank: Jenis Kad, Kelebihan, Syarat Kelayakan
Kenyataan Media Bank Negara Malaysia

Siaran Media: https://bnm.gov.my/web/guest/-/pernyataan-dasar-monetari-09072025
Mengapa OPR Turun Sekarang?
Keputusan OPR turun dibuat berdasarkan penilaian bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh, disokong oleh permintaan domestik yang stabil, pelaburan sektor awam dan swasta, serta eksport yang memberangsangkan.
Dalam masa yang sama, BNM turut mengambil kira faktor global seperti:
Pertumbuhan global yang berkembang perlahan tetapi stabil
Ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran
Keadaan kos global yang lebih terkawal
Inflasi dalam negara yang dijangka kekal sederhana
Langkah ini bersifat berjaga-jaga untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dan kestabilan ekonomi Malaysia.
Baca juga: Kadar Dividen SSPN 2024/2025 & Semakan Penyata Terkini
Kesan OPR Turun kepada Rakyat

1. Kos Pinjaman Turun
Apabila OPR turun, bank-bank akan menyemak semula kadar asas dan pinjaman mereka.
Contohnya, Maybank telah mengumumkan pengurangan kadar asas (BR) dan kadar pinjaman asas (BLR) kepada 2.75% dan 6.40%, berkuat kuasa 11 Julai 2025. Ini bermakna:
Pinjaman rumah dan kereta berkadar terapung mungkin akan menyaksikan penurunan bayaran bulanan.
Pinjaman peribadi juga menjadi lebih murah, mengurangkan beban kewangan isi rumah.
2. Sokongan kepada Perniagaan
Penurunan OPR menjadikan pembiayaan perniagaan lebih murah.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat mengakses modal dengan kos lebih rendah, sekaligus merangsang pertumbuhan perniagaan dan peluang pekerjaan.
3. Pulangan Simpanan Menurun
Sebagai kesan sampingan, OPR turun turut menyebabkan kadar deposit tetap dan akaun simpanan menjadi lebih rendah.
Ini memberi cabaran kepada penyimpan, terutamanya mereka yang bergantung kepada pulangan faedah sebagai pendapatan.
4. Galakan Perbelanjaan dan Pelaburan
Dengan OPR turun, kadar faedah yang rendah menggalakkan pengguna untuk berbelanja dan melabur.
Ini membantu mengekalkan momentum ekonomi domestik dan merangsang pertumbuhan sektor hartanah serta perniagaan baharu.
5. Kesan kepada Nilai Ringgit dan Inflasi
Nilai ringgit akan terus dipengaruhi faktor luaran, namun reformasi struktur dan prospek ekonomi yang positif memberi sokongan.
Inflasi pula dijangka kekal sederhana pada 2025, sekitar 1.4% hingga 1.9% setakat lima bulan pertama tahun ini.
6. Tindakan Wajar oleh Pengguna
Semak semula pinjaman anda: Mungkin ini masa sesuai untuk refinance atau kaji semula pembiayaan.
Tinjau semula strategi simpanan: Bandingkan kadar faedah atau pertimbangkan pelaburan alternatif.
Rancang masa depan kewangan anda: Kadar faedah rendah memberi peluang untuk melabur dalam hartanah atau memulakan perniagaan, dengan penilaian risiko yang teliti.
8 Fakta Menarik tentang OPR

Soalan Lazim Dasar Monetari
Penjelasan tentang Dasar Monetari
1. Apakah itu dasar monetari dan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR)? – Dasar monetari ialah tindakan yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempengaruhi kadar faedah dalam ekonomi. Sebagai bank pusat Malaysia, peranan BNM adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan. Hal ini bertujuan menyediakan keadaan yang sesuai untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia mampan. Bagi mencapai kestabilan monetari, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) BNM menetapkan dasar monetari bagi memastikan inflasi kekal rendah dan stabil yang menyokong pertumbuhan ekonomi.
– MPC menetapkan dasar monetari dengan membuat pelarasan OPR. OPR ialah kadar faedah dasar yang mempengaruhi, antara lainnya, kadar pemberian pinjaman dan pembiayaan bank-bank serta kadar deposit. Kadar-kadar ini menentukan kos pinjaman dan pulangan ke atas deposit bagi produk kewangan konvensional dan kewangan Islam. Untuk meringkaskan penyampaian Soalan Lazim ini, BNM merujuk semua kadar ini sebagai ‘kadar faedah’.
2. Apakah yang berlaku apabila Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) dilaraskan? – Pelarasan OPR, yang lazimnya mempengaruhi kadar faedah dalam ekonomi, memberikan kesan pada kegiatan ekonomi dan perubahan tahap harga secara keseluruhan.
– Apabila BNM menaikkan OPR, kadar faedah yang lebih tinggi bagi simpanan dan pinjaman akan mempengaruhi orang ramai untuk lebih menyimpan dan kurang berbelanja. Sebagai contoh, apabila permintaan untuk barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi melebihi bekalan yang tersedia, harga barangan akan terus meningkat. Oleh itu, orang ramai akan berbelanja lebih untuk membeli barangan yang mereka ingini. OPR yang lebih tinggi akan membantu memperlahankan permintaan kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan. Keadaan ini dapat membantu mengurangkan tekanan kenaikan harga barangan.
– Keadaan sebaliknya berlaku apabila BNM mengurangkan OPR. Kadar faedah yang lebih rendah bagi pinjaman dan simpanan akan menyebabkan orang ramai kurang menyimpan dan lebih berbelanja. Hal ini meningkatkan kegiatan ekonomi dan mengelakkan tahap harga keseluruhan dari jatuh disebabkan oleh permintaan yang lemah yang jika tidak dibendung akan menjejaskan ekonomi.
3. Apakah itu Inflasi? – Inflasi ialah ukuran perubahan harga barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi bagi sesuatu tempoh dan boleh diukur dengan membandingkan kos barangan pada masa ini dengan kos barangan yang sama pada tahun sebelumnya.
– Setiap bulan, Jabatan Perangkaan Malaysia menghimpunkan harga kumpulan lebih 500 barangan daripada kira-kira 21,800 kedai runcit di seluruh negara. Jabatan Perangkaan Malaysia menggunakan kumpulan ini untuk mengira Indeks Harga Pengguna (IHP). Inflasi diukur dengan membandingkan perubahan IHP untuk suatu tempoh masa.
– Kumpulan IHP terdiri daripada barangan dan perkhidmatan yang mencerminkan purata corak perbelanjaan isi rumah Malaysia. Item dalam kumpulan IHP antaranya termasuk makanan, bahan api, pakaian, makanan di restoran dan aktiviti riadah. Jabatan Perangkaan Malaysia menjalankan Survei Perbelanjaan Isi Rumah secara berkala, lazimnya setiap dua hingga tiga tahun, untuk memahami corak perbelanjaan isi rumah bagi membangunkan kumpulan IHP. Contohnya, isi rumah secara purata membelanjakan 29.5% daripada perbelanjaan mereka untuk makanan dan minuman bukan alkohol berbanding dengan 3.2% untuk pakaian dan kasut (berdasarkan wajaran IHP sedia ada yang ditetapkan pada tahun 2018). Hal ini bermakna makanan dan minuman bukan alkohol mempunyai wajaran yang lebih tinggi dalam IHP. Oleh itu, sebarang perubahan dalam harga makanan akan memberikan kesan yang lebih besar terhadap inflasi.
– Siaran IHP bulanan diterbitkan dalam laman sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia.
4. Mengapakah inflasi yang rendah dan stabil adalah penting? – Apabila inflasi rendah dan stabil, perubahan purata harga juga adalah stabil dan boleh dijangka. Hal ini penting kerana jika harga sentiasa berubah dan sukar dijangka, isi rumah dan perniagaan sukar untuk merancang perbelanjaan, simpanan atau pelaburan. Hal ini seterusnya akan memberikan kesan terhadap kegiatan dan pertumbuhan ekonomi.
– Apabila peningkatan harga tidak terkawal, kuasa beli anda akan terjejas. Inflasi yang tinggi dan tidak menentu menjejaskan semua orang, terutamanya isi rumah yang berpendapatan rendah. Berbanding dengan kumpulan berpendapatan lebih tinggi, pembelian barangan perlu seperti makanan dan perumahan membentuk sebahagian besar perbelanjaan isi rumah golongan berpendapatan rendah.
– Inflasi yang tinggi juga mengakibatkan keadaan yang lebih sukar untuk peniaga, yang mungkin berhadapan dengan kos yang lebih tinggi dalam mengeluarkan barangan dan memberikan perkhidmatan serta mungkin menerima hasil jualan yang lebih rendah jika permintaan pengguna terjejas akibat harga yang tinggi. Hal ini seterusnya boleh menjejaskan prestasi perniagaan. Apabila harga kerap berubah, perniagaan juga sukar untuk merancang dan melabur untuk masa hadapan.
– Bagi penabung dan pesara pula, inflasi yang tinggi juga menjejaskan simpanan anda. Kenaikan harga yang mendadak akan mengurangkan kuasa beli simpanan anda dengan cepat.
– Harga keseluruhan yang jatuh untuk tempoh yang lama juga tidak bagus untuk ekonomi. Keadaan ini dikenali sebagai deflasi. Deflasi yang disebabkan oleh permintaan yang berkurang dengan ketara boleh memberikan kesan buruk. Apabila ini berlaku, banyak individu akan kehilangan pekerjaan dan wujud lebih banyak ketidaktentuan dan tekanan kewangan. Hasilnya, pelaburan dan perbelanjaan akan menjadi lebih rendah. Syarikat perlu menurunkan harga untuk menarik pengguna tetapi orang ramai tidak akan berbelanja kerana kedudukan kewangan mereka yang tidak pasti dan mereka menunggu untuk harga terus turun. Sama seperti inflasi yang tinggi, deflasi juga menjejaskan ekonomi.
5. Mengapa pertumbuhan mampan penting? – Pertumbuhan ekonomi berlaku apabila saiz ekonomi berkembang dari masa ke masa. Saiz sesebuah ekonomi lazimnya diukur oleh jumlah pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi tersebut, yang juga dikenali sebagai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
– Pertumbuhan mampan bermaksud kadar ekonomi yang terus berkembang pada kadar yang stabil untuk suatu tempoh yang lama. Ada sesetengah pihak berpendapat langkah untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi melebihi kadar yang mampan merupakan idea yang baik. Hal ini ibarat membuat pecutan yang terlalu laju dalam maraton. Anda mungkin berada di hadapan buat sementara waktu tetapi anda juga akan cepat penat dan mungkin tidak dapat menghabiskan larian tersebut.
– Oleh itu, pertumbuhan yang berterusan tanpa menimbulkan masalah lain adalah lebih penting. Kita sudah melihat pertumbuhan yang terlalu tinggi atau yang didorong oleh kredit yang mudah diperoleh (cheap credit) boleh menjejaskan ekonomi dengan teruk, contohnya di negara yang menghadapi inflasi yang terlampau tinggi. Apabila hal ini berlaku, rakyatlah yang akan menanggung akibatnya dan menjadi lebih miskin, termasuk generasi akan datang. Pertumbuhan yang mampan dapat mengukuhkan ekonomi daripada mengalami kitaran pesat dan meleset (boom and bust cycle).
– Oleh itu, BNM mengimbangkan sasaran jangka pendek dan jangka panjang dalam dasar kami bagi memastikan pertumbuhan mampan. Kadangkala, hal ini bermakna BNM perlu berhati-hati untuk tidak melaksanakan dasar yang mungkin memberikan pertumbuhan yang pesat pada masa ini tetapi boleh mengakibatkan ekonomi merudum pada masa hadapan.
6. Bagaimanakah MPC menetapkan OPR? – Matlamat Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) adalah untuk mengekalkan inflasi yang rendah, stabil dan pada masa yang sama menggalakkan pertumbuhan yang mampan. Oleh itu, MPC mempertimbangkan risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan di Malaysia apabila membuat keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR).
– MPC sentiasa berpandangan ke hadapan apabila menetapkan dasar monetari kerana kesan pelarasan OPR terhadap kegiatan ekonomi dan inflasi tidak berlaku dalam sekelip mata. Pakar ekonomi menganggarkan dasar monetari lazimnya mengambil satu tahun untuk memberikan kesan paling ketara kepada ekonomi. Hal ini kerana perubahan tingkah laku isi rumah dan perniagaan biasanya memerlukan masa.
– MPC bermesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun untuk menetapkan dasar monetari. BNM mengumumkan keputusan dasar monetari ini selepas setiap mesyuarat MPC melalui Pernyataan Dasar Monetari (Monetary Policy Statement, MPS).
– Klik di sini untuk ketahui lebih lanjut tentang OPR dan proses MPC
– Klik di sini untuk baca MPS
7. Bagaimanakah OPR dilaraskan mengikut peredaran masa? – BNM menetapkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) untuk mempengaruhi kadar kegiatan ekonomi dan inflasi. Sejak OPR diperkenalkan pada tahun 2004, BNM telah membuat banyak pelarasan pada OPR, iaitu menaikkan dan mengurangkannya mengikut keperluan ekonomi.
– Paras OPR tertinggi ialah 3.50% pada bulan April 2006. Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.
– Paras OPR terendah ialah 1.75% pada bulan Julai 2020 hingga Mei 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19. Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.
– Klik di sini untuk merujuk keputusan OPR BNM berserta sebab-sebab keputusan ini diambil
8. Mengapa kita mengawal inflasi menggunakan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) dan bukannya kadar pertukaran? – Kebanyakan bank pusat di seluruh dunia menggunakan kadar faedah sebagai alat dasar monetari, termasuk Malaysia. Walau bagaimanapun, beberapa negara seperti Singapura dan Hong Kong menggunakan kadar pertukaran sebagai alat dasar monetari. Pemilihan alat dasar monetari bergantung pada ciri-ciri ekonomi sesebuah negara, contohnya, sebanyak mana negara tersebut mengimport serta tahap keterbukaan terhadap aliran modal.
– Bagi Malaysia, jumlah import mencakupi sebahagian kecil daripada perbelanjaan dan pelaburan isi rumah Malaysia. Oleh itu, peningkatan nilai kadar pertukaran mungkin tidak dapat mengawal kejutan inflasi secara berkesan. Kawalan inflasi memerlukan alat yang dapat mempengaruhi permintaan dalam negeri secara langsung. Inilah sebab MPC menggunakan OPR untuk menetapkan dasar monetari. Baca lebih lanjut mengenai cara perubahan OPR mempengaruhi permintaan, yang seterusnya mempengaruhi inflasi menerusi Soalan Lazim 2: Apakah yang berlaku apabila OPR dilaraskan?
– Dasar ini juga membolehkan Bank mengawal kadar faedah domestik seiring dengan pergerakan modal yang bebas dan kadar pertukaran yang fleksibel. Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut.
9. Apakah itu SRR dan apakah perbezaanya daripad OPR? – Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) adalah satu-satunya penunjuk yang digunakan untuk menandakan pendirian dasar monetari, dan diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari (Monetary Policy Statement, MPS) yang dikeluarkan selepas mesyuarat MPC.
– Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR) merupakan alat pengurusan mudah tunai yang digunakan oleh BNM bagi mengurangkan atau menambah mudah tunai ke dalam sistem perbankan pada asas jangka yang lebih panjang. SRR bukan isyarat pendirian dasar monetari MPC. SRR merujuk bahagian dana yang perlu dipegang oleh bank-bank sebagai rizab dengan BNM. Apabila SRR menjadi sebahagian daripada rizab bank-bank, dana SRR tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.
– Maklumat lanjut SRR boleh diakses melalui Statutory Reserve Requirement (SRR) – Bank Negara Malaysia
10. Bagaimanakah perkembangan ringgit memberikan kesan kesan kepada harga pengguna? – Harga pengguna berubah disebabkan oleh banyak faktor dan bukan sahaja disebabkan oleh pergerakan nilai ringgit. Perubahan harga komoditi global (contohnya minyak mentah, gandum dan gas asli), kos pekerja, serta keadaan permintaan dan penawaran juga boleh memberikan kesan terhadap harga pengguna.
– Pergerakan nilai ringgit boleh memberikan kesan terhadap harga pengguna secara langsung atau tidak langsung. Sebagai contoh, pergerakan ringgit boleh mempengaruhi inflasi dalam negeri menerusi perubahan harga import melalui:Harga barangan siap yang diimport ke Malaysia (contohnya daging lembu dan produk tenusu); dan
Kos bahan import yang digunakan untuk pengeluaran dalam negeri. Sebagai contoh, bijirin diimport dan digunakan sebagai makanan ayam. Oleh itu, perubahan harga bijirin yang diimport dari luar negara boleh memberikan kesan pada kos makanan ayam dan seterusnya harga ayam di Malaysia.
– Namun begitu, kesan pergerakan nilai ringgit terhadap inflasi IHP tidak berkait secara terus (one-to-one). Sebagai contoh, sekiranya ringgit menurun nilai sebanyak 5% berbanding dengan dolar AS, inflasi tidak semestinya meningkat pada kadar yang sama. Selain perubahan pada harga import seperti yang dinyatakan di atas, terdapat faktor lain yang mempengaruhi perubahan ini. Perniagaan yang terjejas boleh memilih untuk tidak menaikkan harga bagi mengekalkan pelanggan mereka. Lazimnya, apabila harga barangan import lebih tinggi, pengimport akan mencari alternatif yang lebih murah. Sebahagian langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan juga terus membendung kenaikan harga yang berlebihan (contohnya kawalan harga bagi beberapa barangan keperluan).
– Klik di sini untuk ketahui lebih lanjut mengenai ringgit.
– Klik di sini untuk ketahui lebih lanjut mengenai cara kadar pertukaran mempengaruhi inflasi.
Apakah yang berlaku pada masa ini?
11. Mengapakah harga masih tinggi meskipun inflasi telah berkurang? – Harga lebih tinggi yang berlaku sekarang merupakan isu global. Meskipun inflasi telah berkurang, hal ini tidak bermaksud harga akan menjadi lebih rendah. Sebaliknya, harga meningkat pada kadar yang lebih perlahan.Inflasi yang rendah penting untuk mewujudkan persekitaran makro ekonomi yang kukuh dan kondusif.
– Rujuk Soalan Lazim 4 untuk mengetahui mengapa kita menghendaki kenaikan harga yang kecil dan stabil serta tidak menginginkan deflasi.
– Pada tahun 2022, kos meningkat disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk gangguan bekalan yang menjejaskan aliran normal pengeluaran serta konflik ketenteraan di Ukraine. Harga komoditi yang lebih tinggi merupakan sebab utama kenaikan harga ini. Barangan berkaitan makanan adalah yang paling terkesan. Harga ini secara amnya telah stabil atau meningkat pada kadar yang lebih perlahan meskipun kekal tinggi.
– Inflasi global dijangka terus berkurang pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, risiko harga komoditi menjadi lebih tinggi terus wujud disebabkan oleh faktor-faktor geopolitik dan gangguan cuaca. Malaysia turut terkesan dengan faktor-faktor ini.
Tambahan lagi, Kerajaan telah mencadangkan pembaharuan struktur bagi menggalakkan upah yang seterusnya akan mengukuhkan kuasa beli pengguna bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup.
– Berbanding dengan negara lain, kenaikan harga tidak begitu melampau di Malaysia. Negara kita mempunyai dasar subsidi bahan api dan kawalan harga yang menyebabkan inflasi masih rendah. Walau bagaimanapun, langkah-langkah seperti ini boleh menyebabkan negara menanggung kos yang besar. Hal ini kerana Kerajaan perlu terus menanggung jumlah yang banyak untuk memastikan harga terus rendah. Tindakan ini mengurangkan jumlah yang boleh diperuntukkan oleh Kerajaan untuk perbelanjaan yang lebih produktif atau memberikan bantuan dalam bentuk lain, terutamanya kepada golongan yang paling memerlukan.
12. Mengapakah Bank Negara Malaysia menaikkan kadar faedah dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat? – Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) daripada 3.00% kepada paras terendah yang pernah dicatatkan iaitu 1.75% semasa krisis COVID-19 pada tahun 2020. Kadar faedah yang lebih rendah ini menyebabkan pinjaman lebih mudah diperoleh bagi menggalakkan perbelanjaan. MPC mengambil tindakan ini untuk meredakan kesan pandemik semasa ekonomi tidak kukuh dan sedang mengalami kemelesetan.
– Pelaksanaan dasar yang betul pada masa yang tepat adalah penting. Contohnya, jika MPC mengekalkan OPR terlalu rendah untuk tempoh yang terlalu lama apabila ekonomi semakin pulih secara stabil, hal ini boleh menyebabkan perbelanjaan dan peminjaman yang terlalu banyak. Keadaan ini seterusnya mendorong kenaikan harga.
– Pada masa ini, ekonomi Malaysia tidak lagi mengalami krisis dan bertambah baik secara stabil. Oleh itu, MPC telah membuat pelarasan pada OPR secara beransur-ansur.
– MPC juga mahu mengelakkan daripada keadaan harga terus meningkat dengan pantas untuk banyak barangan. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk apabila harga yang semakin meningkat menyebabkan upah lebih tinggi dan seterusnya menyebabkan harga meningkat lagi. Contohnya, jika anda pemilik perniagaan, pekerja anda akan mula meminta kenaikan gaji apabila harga semakin naik di merata-rata tempat dan dijangka terus naik. Anda kemudiannya perlu menaikkan gaji mereka dan memindahkan kos tambahan ini melalui harga jualan yang lebih tinggi. Jika tindakan ini tidak seiring dengan peningkatan produktiviti, kenaikan gaji yang dikecapi tidak akan memberi sebarang makna kerana harga barangan dan perkhidmatan juga menjadi lebih tinggi, lantas menjejaskan lagi kuasa beli. Kitaran buruk ini boleh berlarutan, lantas mengakibatkan inflasi melampau yang akan memudaratkan ekonomi.
– Kadar faedah yang lebih tinggi membantu memutuskan kitaran ini. Keadaan akan mungkin menjadi lebih buruk jika MPC menunggu sehingga inflasi menjadi tidak terkawal sebelum bertindak. Pada masa itu, MPC mungkin perlu menaikkan OPR lebih tinggi dan secara lebih mendadak. Hal ini akan lebih memudaratkan isi rumah dan perniagaan, terutamanya apabila kenaikan OPR yang mendadak berlaku dalam persekitaran inflasi yang tinggi, yang seterusnya menjejaskan kuasa beli semua orang dan mengakibatkan kemelesetan ekonomi. Oleh itu, dasar monetari perlu dilaksanakan awal bagi mencegah semua ini daripada berlaku pada masa hadapan.
13. Bagaimanakah kenaikan kadar faedah boleh memberikan kesan kepada saya? – Kadar faedah yang lebih tinggi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai kurang meminjam dan lebih banyak menyimpan.
– Jika anda mempunyai pinjaman, kesannya bergantung pada jenis pinjaman yang diambil.
– Pinjaman berkadar tetap tidak akan terjejas. Jumlah yang anda bayar balik kepada bank akan kekal sama. Lazimnya, kadar ini digunakan untuk pinjaman kereta.
– Jika anda mempunyai pinjaman berkadar terapung, kos peminjaman akan meningkat. Hal ini bermakna bayaran ansuran bulanan anda akan menjadi lebih tinggi. Lazimnya, kenaikan kadar ini akan memberikan kesan pada pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi. Bagi peminjam individu, kadar faedah pinjaman anda akan meningkat pada jumlah yang sama seperti kenaikan OPR. Contohnya, jika OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas, kadar faedah bagi pinjaman perumahan anda juga akan meningkat kepada 3.75% sekiranya kadar sebelum ini ialah 3.50%. Ansuran pinjaman anda akan meningkat seiring dengan kadar faedah yang lebih tinggi.
– Bank anda perlu memaklumkan kepada anda dengan sewajarnya jika terdapat perubahan pada bayaran balik pinjaman anda. Anda akan menerima makluman daripada bank anda yang memberikan penjelasan tentang jumlah bayaran balik pinjaman yang akan berubah (sama ada melalui surat, e-mel, SMS atau aplikasi). Makluman ini akan menggariskan dengan jelas tentang kadar faedah terkini, jumlah bayaran balik baharu serta tarikh kuat kuasa supaya anda boleh membuat persediaan sewajarnya.
– Anda mungkin tidak mendapat makluman tersebut dengan serta-merta selepas OPR berubah, tetapi bank-bank dikehendaki memastikan anda menerima makluman selewat-lewatnya tujuh hari sebelum jumlah ansuran baharu perlu dibayar.Anda boleh ketahui lebih lanjut mengenai proses ini dalam Rangka Kerja Kadar Rujukan dan Panduan Pengguna tentang Rangka Kerja Kadar Rujukan.
– Jika anda bercadang untuk mengambil pinjaman baharu, kos peminjaman juga boleh menjadi lebih mahal sekiranya kadar faedah lebih tinggi.
– Penting untuk anda memahami bagaimana perubahan kadar faedah boleh mempengaruhi keupayaan anda untuk membayar balik pinjaman. Anda boleh menggunakan kalkulator pinjaman perumahan yang tersedia dalam talian untuk mengira bayaran ansuran bulanan baharu anda seperti yang terdapat pada pautan ini.
– Selain pinjaman, kadar faedah yang lebih tinggi juga mempengaruhi simpanan anda. Jika anda mendepositkan wang ke dalam akaun bank yang membayar faedah, anda akan mendapat pulangan yang lebih tinggi bagi simpanan anda. Pulangan yang lebih tinggi ini akan memberikan manfaat kepada penyimpan pada semua peringkat umur, tidak kira muda dan tua, termasuk pesara dan individu yang bergantung pada pendapatan faedah untuk menampung perbelanjaan harian mereka.
14. Bolehkah saya dikecualikan daripada kadar faedah yang lebih tinggi? Bagaimanakah sekiranya saya tidak mampu membayar jumlah bayaran balik pinjaman yang bertambah? – Secara amnya, dasar monetari bertujuan mempengaruhi ekonomi secara keseluruhan. Ciri ini yang menjadikannya berkesan bagi memastikan ekonomi terus kukuh.
– Apabila mengambil pinjaman berkadar terapung, bayaran balik bagi pinjaman berkadar terapung boleh berubah jika Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) dilaraskan. Oleh itu, peminjam perlu membuat pertimbangan sama ada mereka mampu untuk mengambil pinjaman tersebut jika kadar faedah meningkat.
– Walau bagaimanapun, jika anda memang mempunyai pinjaman berkadar tetap, kadar faedah anda tidak akan berubah.
– BNM ambil maklum bahawa kenaikan kadar faedah mungkin lebih sukar bagi sesetengah individu. Bantuan ada disediakan. Jika anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik ansuran pinjaman bulanan anda, langkah terbaik yang anda boleh ambil adalah untuk menghubungi bank anda atau Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) secepat mungkin untuk mengetahui tentang pilihan bantuan yang disediakan.
– Anda juga boleh mendapatkan maklumat daripada bank anda tentang pilihan bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan kewangan semasa anda (contohnya, anda ingin mengekalkan jumlah ansuran yang sama buat sementara waktu). Bank anda akan memberikan penjelasan tentang kesan cara bayaran balik pinjaman yang anda pilih. Kesan ini mungkin termasuk perubahan jumlah keseluruhan pinjaman, perubahan dalam tempoh pinjaman atau tambahan jumlah faedah yang perlu dibayar balik. Anda boleh menaikkan semula jumlah ansuran apabila keadaan kewangan anda bertambah baik bagi mengurangkan kos keseluruhan pinjaman pada masa hadapan.
15. Mengapakah kadar faedah pinjaman atau simpanan saya tidak meningkat, sama seperti Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) – Apabila OPR meningkat, bank-bank akan membayar kadar faedah yang lebih tinggi untuk dana yang didepositkan ke dalam bank. Penyimpan akan mendapat manfaat daripada pulangan simpanan yang lebih tinggi. Bank-bank juga akan mengenakan faedah yang lebih tinggi kepada peminjam bagi mencerminkan kos dana yang lebih tinggi.
– OPR mempengaruhi kadar faedah bagi simpanan dan pinjaman tetapi terdapat juga faktor penting lain.Bagi pinjaman baharu, kadar faedah yang dikenakan oleh bank-bank turut bergantung pada keupayaan peminjam untuk membayar balik ansuran, kos operasi bank, persaingan pasaran dan pertimbangan perniagaan lain. Sebagai contoh, jika anda mempunyai rekod bayaran balik pinjaman yang baik, anda mungkin menikmati kadar faedah yang lebih rendah bagi pinjaman baharu berbanding dengan individu lain.
Jika anda mempunyai pinjaman berkadar terapung sedia ada (contohnya pinjaman perumahan berkadar terapung), kadar faedah pinjaman akan meningkat sama seperti OPR. Apabila OPR berubah, bayaran ansuran pinjaman baharu anda akan berkuat kuasa pada bila-bila masa dalam tempoh tiga bulan.
Bagi simpanan, kadar deposit juga bergantung pada faktor seperti persaingan dalam kalangan bank untuk mendapatkan pendanaan, sumber alternatif bagi pendanaan berkos lebih rendah yang tersedia untuk bank-bank dan pertimbangan perniagaan lain termasuk strategi pemberian pinjaman. Faktor-faktor ini boleh menyebabkan kadar faedah bagi simpanan berubah lebih tinggi atau lebih rendah daripada perubahan OPR. Pulangan ke atas deposit yang disimpan di bank-bank juga bergantung pada jenis deposit, contohnya sama ada anda menyimpan wang anda dalam akaun deposit semasa dan akaun deposit simpanan atau akaun deposit tetap. Pulangan ke atas akaun deposit semasa dan akaun deposit simpanan lazimnya lebih rendah dan kurang sensitif terhadap perubahan OPR. Hal ini kerana tujuan utama akaun-akaun ini adalah untuk membolehkan anda membuat transaksi dan wang dalam akaun tersebut boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. Sebaliknya, anda akan mendapat kadar pulangan yang lebih tinggi jika anda menyimpan dalam akaun deposit tetap, iaitu anda menyimpan wang mengikut tempoh yang telah dipersetujui terlebih dahulu. Pada amnya, lebih lama tempoh yang telah dipersetujui, lebih tinggi kadar faedah simpanan anda.
16. Adakah kadar faedah akan terus meningkat? – Meskipun Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) telah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) beberapa kali, hal ini tidak bermakna MPC akan terus menaikkannya setiap kali bermesyuarat. MPC akan terus memantau keadaan ekonomi pada setiap mesyuarat MPC dan menentukan sama ada pelarasan pada OPR perlu dilaraskan. Walau bagaimanapun, MPC tidak menjangka sebarang peningkatan yang mendadak seperti di beberapa negara lain. Hal ini bermakna pelarasan pada kadar OPR akan dibuat secara beransur-ansur sekiranya perlu.
– Sesetengah bank pusat lain telah menaikkan kadar faedah dasar mereka dengan lebih cepat dan pada kadar yang lebih besar kerana itulah tindakan yang diperlukan untuk ekonomi mereka. Hal ini tidak bermaksud MPC perlu mengambil tindakan yang sama. Apabila menetapkan OPR, MPC memberikan keutamaan kepada ekonomi dalam negeri bagi memastikan keputusan OPR yang paling sesuai dengan keperluan negara. Faktor global, seperti perubahan kadar dasar bank-bank pusat lain, akan dipertimbangkan hanya dari segi kesan perubahan tersebut ke atas risiko prospek inflasi dan pertumbuhan di Malaysia
– Pada masa ini, ekonomi Malaysia tidak lagi mengalami krisis, malahekonomi telah pulih dengan stabil. Oleh itu, MPC telah membuat pelarasan pada OPR secara beransur-ansur
17. Jika ringgit lemah, adakah hal ini akan menyebabkan inflasi yang lebih tinggi di Malaysia? Kekukuhan dolar AS (atau mana-mana mata wang asing) akan meningkatkan kos barangan import, termasuk harga makanan. Walau bagaimanapun, barangan yang diimport menyumbang kurang 20% daripada kos pengeluaran. Meskipun kesan kadar pertukaran terhadap inflasi tidak berlaku secara terus (one to one), kesan ini sebahagiannya menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup kerana harga komoditi yang lebih tinggi dan gangguan bekalan menjejaskan harga dalam negeri. Pelbagai langkah sedang dilaksanakan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga ini. Langkah-langkah ini termasuk bantuan sosial, kestabilan harga dan akses kepada barangan keperluan yang mempunyai harga diskaun.
18. Adakah Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) yang lebih tinggi akan mengukuhkan kadar pertukaran ringgit? – OPR dilaraskan bagi membantu mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan seiring dengan harga yang lebih stabil. Hal ini seterusnya menyebabkan sentimen pelabur terhadap ekonomi Malaysia bertambah baik dan menyokong kadar pertukaran ringgit dari masa ke masa.
– Terdapat banyak faktor lain yang turut mempengaruhi kadar pertukaran ringgit. Di samping itu, kita tidak seharusnya hanya membandingkan pergerakan ringgit dengan dolar AS. Sebaliknya, kita juga perlu membandingkan ringgit dengan mata wang lain. Pada waktu inilah kadar pertukaran efektif secara nominal (nominal effective exchange rate, NEER) menjadi relevan. NEER mengambil kira pergerakan ringgit berbanding dengan mata wang rakan perdagangan Malaysia. Lazimnya, NEER merupakan ukuran yang lebih baik bagi trend umum dalam kadar pertukaran berbanding dengan mana-mana kadar pertukaran dua hala yang lain (contohnya, ringgit berbanding dengan USD). Contohnya, nilai ringgit mungkin menurun berbanding dengan dolar AS tetapi bertambah nilai berbanding dengan mata wang lain.
Muat turun Soalan Lazim Dasar Monetari: https://www.bnm.gov.my/documents/20124/18633988/mps_faq_jul25_bm.pdf
Kesimpulan
Keputusan OPR turun merupakan langkah strategik BNM untuk menstabilkan ekonomi dalam jangka masa sederhana.
Ia memberi manfaat besar kepada peminjam dan usahawan, tetapi dalam masa yang sama memerlukan penyimpan untuk menyesuaikan strategi kewangan mereka.
Dalam persekitaran ekonomi yang berubah-ubah ini, penting untuk setiap individu kekal peka dan bijak mengurus kewangan bagi memanfaatkan kesan dasar ini secara optimum.
Sumber: Berita Harian, Astro Awani, BNM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/opr-turun/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=opr-turun