Menteri Kewangan Nepal Diserang Di Jalanan
Menteri Kewangan Nepal Diserang Di Jalanan
Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban manakala ratusan lagi cedera susulan protes besar-besaran yang tercetus di seluruh Nepal pada 8 September lalu.
Demonstrasi yang kebanyakannya dipimpin oleh golongan muda itu dipercayai berpunca daripada rasa kecewa terhadap kegagalan kerajaan memerangi rasuah serta menyediakan peluang ekonomi yang lebih baik.
Sebelum itu, pada 4 September, kerajaan Nepal menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial termasuk Facebook, X dan YouTube yang digunakan hampir 90 peratus rakyatnya.
BBC melaporkan, alasan rasmi yang diberikan ialah untuk mengekang penyebaran berita palsu, ucapan kebencian dan penipuan dalam talian.
Namun, tindakan itu dianggap oleh penunjuk perasaan sebagai cubaan menyekat gerakan anti-rasuah.
Kemarahan rakyat turut memuncak selepas tular gambar anak-anak ahli politik yang mempamerkan kemewahan hidup mereka. Hal ini dipercayai mencetuskan serangan terhadap golongan yang digelar ‘nepo babies’.
Situasi bertambah tegang apabila Perdana Menteri Nepal meletakkan jawatan, kediamannya dirompak serta dibakar.
Dalam insiden berasingan, Rajyalaxmi Chitrakar, isteri bekas Perdana Menteri Jhalanath Khanal, meninggal dunia selepas rumah mereka turut dibakar penunjuk perasaan.
Beliau sempat dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Menteri Kewangan jadi mangsa serangan
Dalam kekacauan itu, Menteri Kewangan Nepal, Bishnu Prasad Paudel, 65, turut diserang di jalanan ibu kota, Kathmandu.
Menurut laporan media India, NDTV, Paudel kelihatan dikejar sekumpulan penunjuk perasaan sebelum seorang daripada mereka menendangnya sehingga beliau terhentak pada dinding batu bata.
Rakaman yang tersebar menunjukkan beliau jatuh selepas ditendang, kemudian bangun dan melarikan diri semula.
Protes ini masih berlanjutan dan dianggap sebagai antara gelombang bantahan terbesar pernah berlaku di Nepal.
Hal ini memperlihatkan kebangkitan golongan muda yang menuntut kerajaan lebih serius dalam menangani isu rasuah serta ketidakadilan ekonomi.
BACA: Isteri Bekas PM Nepal Maut, Rumah Dibakar Penunjuk Perasaan
Sumber: Mothership
The post Menteri Kewangan Nepal Diserang Di Jalanan appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/09/10/menteri-kewangan-nepal-diserang-di-jalanan/