Penganggur Didakwa Bunuh Warga Emas
Penganggur Didakwa Bunuh Warga Emas
MANJUNG, 9 Dis (Bernama) — Seorang penganggur hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Kampung Koh bulan lepas.
Lin Chee Ming, 49, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan jaminan juga tidak ditawarkan.
Lelaki itu didakwa membunuh Ling Chin Kian, 78, di Kampung Baru, Kampung Koh, Sitiawan antara 3.40 pagi hingga 4.44 pagi pada 26 Nov lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 10 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen, laporan bedah siasat, patalogi, forensik dan kimia.
Di mahkamah sama, Lin dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku mengambil dadah jenis amfetamina dan metamfetamina di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 10.45 malam 4 Feb lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000.
Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azizah Ahmad pula, Lin dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan selepas mengaku memberikan kepada diri sendiri dadah jenis morfin, dan turut dikenakan pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan.
Tertuduh, yang memiliki tiga kesalahan lampau, didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat BSJN IPD Manjung pada 4.30 petang 20 Jan lepas.
BACA: Amaran Tsunami Ditarik Balik Beberapa Jam Selepas Gempa Magnitud 7.5 Landa Jepun
Sumber: Bernama
The post Penganggur Didakwa Bunuh Warga Emas appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/09/penganggur-didakwa-bunuh-warga-emas/